
TINDAKAN tidak memberikan lesen kebangsaan kepada pasukan akan dikenakan ke atas mana-mana kelab Liga Malaysia (Liga-M) yang berdepan isu tunggakan gaji sebagaimana dihadapi Melaka United FC dan Sarawak United FC.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL (CEO), Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kelab Liga Malaysia (Liga M) dan akan sentiasa berusaha keras dalam mengekang isu tunggakan gaji terus mencemarkan saingan bola sepak tempatan.
“Seperti tahun lalu, liga kita berakhir dengan dua pasukan yang mempunyai masalah gaji sekaligus menyebabkan mereka tidak layak untuk mendapatkan lesen (bertanding) musim ini.
“Kita tahu ketegasan untuk buat keputusan itu bukan senang memandangkan ia membabitkan dua kelab besar dan ia menjatuhkan nilai komersial. Ketiadaan Melaka dan Sarawak jelas memberi impak besar.
“Jadi untuk lesen kelab musim depan akan diukur berdasarkan semua perkara (terutama kewangan). Jadi dengan kerjasama yang dilakukan bersama CEO kelab serta beberapa pendekatan yang digunakan, saya yakin stigma ini dapat dihapuskan,” katanya
Tambahnya lagi, berlaku banyak penurunan dari segi kes tunggakan gaji pemain sejak 2018 susulan pelbagai usaha dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL.
“Sejak saya sertai FAM pada 2018, kita ada 232 ketika itu namun sekarang hanya ada sembilan hingga 13 kes aktif sahaja ketika ini. Jadi ia menunjukkan usaha untuk mengurangkan jumlah kes tunggakan gaji berjaya kita laksanakan.
“Kelab yang ada sekarang juga lebih peka kepada penggunaan kewangan dalam bajet dan saya yakin kita akan melihat lagi pengurangan masalah tunggakan gaji selepas ini,” katanya.
Add Comment