Bola Sepak Terkini

Penganjuran Piala Dunia peringkat bawah umur perlukan sokongan kerajaan


Hamidin menegaskan sokongan penuh kerajaan mampu merealisasikan penganjuran Piala Dunia peringkat bawah umur.

PELUANG untuk membida hak tuan rumah pada kejohanan Piala Dunia di peringkat bawah umur nampak cerah sekiranya mendapat sokongan penuh daripada pihak kerajaan.

Keyakinan ini disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berhasrat dan menjelaskan cita-cita untuk menyaksikan Malaysia menganjurkan kejohanan berprestij itu tetap ada selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada Piala Dunia B-20 edisi 1997.

“Kemungkinan untuk kita membida hak menjadi tuan rumah Piala Dunia di pelbagai peringkat umur sentiasa terbuka. Kita boleh lihat Indonesia menjadi penganjur Piala Dunia B-20 pada tahun ini.

“Kita (Malaysia) pun boleh buat kerana ia bagus untuk bola sepak dan kali terakhir pun kita menjadi tuan rumah adalah pada 1997 untuk Piala Dunia B-17.

“Namun, harus kita sedari kos untuk menjadi penganjur kejohanan akhir sangat tinggi dan kita perlukan sokongan penuh daripada pihak kerajaan,” katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selasa.

Kejohanan Piala Dunia B-17 bakal dianjurkan di Peru pada November depan manakala Piala Dunia B-20 berlangsung di Indonesia pada Mei 2023.

Pada saingan Piala Dunia B-20 edisi 1997, kejohanan berprestij itu telah dianjurkan di enam negeri seperti Perlis, Selangor, Johor, Pahang, Sarawak dan Kedah dengan pasukan Argentina muncul juara.

Sekiranya badan induk bola sepak negara serius untuk membida, mungkin edisi 2025 atau 2027 dilihat realistik dengan FIFA difahamkan akan membuka bidaan tuan rumah tidak lama lagi.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: