Bola Sepak

FAM hantar surat rasmi mutu pengadilan Ryuji Sato


Keputusan Sato mencetuskan kontroversi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berhubung mutu pengadilan ketika perlawanan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022, Vietnam menentang Malaysia di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, surat tersebut yang dihantar pada Khamis selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram.

Menurutnya, sekretariat tersebut telah berbincang dan meneliti klip video beberapa insiden di sepanjang perlawanan tersebut.

“Surat rasmi yang dihantar menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan telah pun dihantar ke Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu,” ujarnya.

Pada Selasa lalu, keputusan pengadil dari Jepun, Ryuji Sato telah menimbulkan kemarahan penyokong Harimau Malaya selepas melayangkan kad merah kepada pertahanan Malaysia, Azam Azmi Murad serta memberi sepakan penalti kepada Vietnam yang mana pasukan itu keluar sebagai pemenang dengan keputusan 3-0 di Hanoi.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: