
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mencabar 23 pemain Harimau Malaya agar mempamerkan persembahan terbaik sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Jelasnya, beliau berharap skuad negara mampu melakar sejarah untuk Malaysia menambah koleksi kejuaraan kedua pada kejohanan tertinggi peringkat Asia Tenggara itu.
Setakat Ini hanya empat pasukan pernah bergelar juara AFF iaitu Thailand sebanyak enam kali, Singapura (4), Vietnam (2) dan Malaysia (1).
Hamidin berkata demikian selepas
mengadakan pertemuan dengan para pemain skuad Harimau Malaya di hotel penginapan pasukan di Yangon, Myanmar, malam Selasa.
Pada sesi tersebut, beliau telah memberikan amanat serta suntikan semangat sebelum skuad kendalian Kim Pan Gon itu memulakan kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna, 4.30 petang ini (6.00 petang waktu Malaysia).
Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan menentang Laos di Bukit Jalil pada Sabtu ini, Vietnam di Hanoi pada Selasa depan dan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari 2023 bagi memburu dua slot teratas Kumpulan B layak ke separuh akhir.
Saingan separuh akhir secara timbal balik dijadual pada 6 dan 7 Januari serta 9 dan 10 Januari manakala aksi final secara timbal balik akan berlangsung pada 13 dan 16 Januari 2023.
Sepanjang 13 edisi kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Tiger dan Piala Suzuki AFF, Malaysia hanya pernah sekali muncul juara pada 2010 serta tiga kali sebagai naib juara iaitu pada edisi sulung 1996, 2014 dan 2018.
Add Comment