Bola Sepak

Piala AFF : Malaysia umum senarai 23 pemain akhir tanpa Dion Cools


Harimau Malaya akan berlepas ke Myanmar pada 19 Disember bagi aksi pertama Piala AFF 2022. FOTO FAM

23 pemain Harimau Malaya berlepas ke Yangon, Myanmar bagi menghadapi Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bermula 20 Disember tanpa kelibat Dion Cools yang digugurkan atas urusan peribadi.

Lima pemain yang sebelum ini berada dalam senarai 28 pemain dipanggil ke kem latihan pusat sejak 29 November lalu tidak berada dalam senarai akhir tersebut adalah penjaga gol, Azri Ab Ghani, Kogileswaran Raj, Ramadhan Saifullah Usman, Aliff Izwan Yuslan Dan Cools.

Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), skuad negara akan menghadapi perlawanan pertama Kumpulan B bertemu Myanmar di Stadium Thuwunna pada Rabu, 21 Disember 2022 sebelum kembali ke tanah air, hari berikutnya.

Seterusnya, skuad Harimau Malaya akan bertemu Laos pada perlawanan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu, 24 Disember 2022, dan hari berikutnya terbang ke Hanoi untuk perlawanan ketiga menentang Vietnam di Stadium My Dinh pada Selasa, 27 Disember 2022.

Pulang ke tanah air pada hari berikutnya, skuad Harimau Malaya tidak beraksi pada Hari Perlawanan 4 bagi Kumpulan B pada Jumaat, 30 Disember 2022 dan hanya akan kembali turun beraksi pada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa, 3 Januari 2023.

Jika berjaya menduduki dua tempat teratas dalam kumpulan, saingan separuh akhir akan berlangsung secara timbal balik pada 6 atau 7 Januari 2023 dan 9 atau 10 Januari 2023 manakala aksi final timbal balik dijadual pada 13 dan 16 Januari 2023.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: