
Tumpuan kini terarah kepada sembilan pemain import Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas pasukan utara itu berjaya menyambar bekas Ketua Jurulatih Terengganu FC, Mohd Nafuzi Mohd Zain sebagai pengendali bagi musim 2023.
Sang Kenari memberikan bayangan jelas melalui pemilik saham majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang mengesahkan perkara tersebut apabila menjelaskan masih lagi berbelanja sederhana namun perbelanjaaan meningkat disebabkan oleh pertambahan pemain import dan menguruskan pasukan bawah 23 tahun KDA FC.
Enam pemain import akan digunakan untuk pasukan Liga Super kendalian Mohd Nafuzi manakala tiga lagi pemain import bagi skuad bawah 23 tahun pasukan itu.
“Kita membuat keputusan tiga pemain import untuk pasukan bawah 23 tahun dan pasukan utama akan mengambil enam pemain import dan melibatkan lebih bajet daripada tahun lepas.
“Cuma di peringkat pengurusan atau jurulatih masih berfikir mengambil terus enam pemain atau lima sahaja untuk Liga Super kerana memikirkan kecederaan atau tidak cergas.
“Kita ada satu lagi kuota pemain pada pertengahan musim jika berlaku perkara itu,” katanya pada sidang media pada Selasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, Mohd Nafuzi diberi kuasa penuh untuk membentuk seluruh pasukannya bagi musim 2023.
“Kita beri kuasa penuh kepada ketua jurulatih untuk memilih pemainnya dan pengurusan telah membuat perkara sama sejak dahulu lagi,” ujarnya.
Bagi Mohd Nafuzi pula, beliau membayangkan akan memberikan tumpuan untuk membangunkan semula Sang Kenari yang mempunyai legasi dan penyokong yang besar pada masa hadapan.
“Saya tahu untuk mendapatkan peluang bersama pasukan besar seperti Kedah sebagai jurulatih bukan mudah dan peluang ini adalah terbaik untuk saya mengembangkan lagi kerjaya.
“Saya teruja untuk bersama Kedah selepas melakukan perbincangan bersama dengan Tan Sri dan Khamal. Hari ini saya sudah merasai aura yang cukup hebat,” katanya.
Tambahnya, beliau juga membayangkan untuk menggunakan pemain anak jati Kedah termasuk memberikan tumpuan kepada produk pemain muda.
Add Comment