
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan penyerangnya, Safawi Rasid bakal beraksi di Liga 1 Thailand bersama Ratchaburi FC.
Selain Safawi, Kelab Thailand itu juga mencapai persetujuan dengan JDT untuk meminjam pemain import Harimau Selatan dari Mali iaitu Moussa Sidibe.
Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT Hector Bidoglio mengumumkan perkara tersebut melalui satu kenyataan yang dimuatkan di Facebook rasmi kelab tersebut.
“Harimau Selatan mendoakan yang terbaik buat kedua-dua pemain ini untuk musim akan datang,” katanya.
Sebelum ini sebuah portal antarabangsa melaporkan Pengerusi Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana telah mencapai persetujuan dengan JDT bagi mendapatkan khidmat Safawi memperkuatkan kelabnya.
“Sekarang, perjanjian itu selesai. Pemain (Safawi) akan menyertai pasukan kami selepas menyelesaikan tugas kebangsaannya dan saya harap ini akan membawa peminat baharu kepada kelab kami,” kata Tanawat Nitikanchana
Safawi Akan Menjadi Pemain Kuota ASEAN Ketiga Ratchaburi, Bersama Gandingan Myanmar Myo Min Latt Dan Hein Phyo Win.
Difahamkan Safawi yang kini berusia 25 tahun bakal menyertai kelab baharunya itu selepas saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.
Beraksi bersama pasukan luar negara bukan satu perkara asing kepada pemain lincah itu kerana pernah dipinjamkan selama tiga bulan pada 2021 kepada kelab di divisyen utama Portugal, Portimonense SC.
Add Comment