Bicara Otai.Sukan
Dato Dr Pekan Ramli
Sudah lama tidak berbicara disebabkan kesibukan tugas seharian. Namun tertarik pula untuk berbicara tentang sukan bolasepak negara kita yang sentiasa sahaja bagaikan sebuah sandiwara yang dimainkan oleh watak-watak popular sebagai aktor utama mahupun aktor yang mungkin lebih suka menyorok di balek tabir.
Di Vietnam, Ketua Jurulatih Vietnam Park Hang Seo dari Korea Selatan kelmarin berang terhadap kelab-kelab bolasepak di Vietnam yang enggan melepaskan pemain-pemain mereka yang mendapat tawaran
beraksi terutama dari kelab-kelab di Liga Korea dan juga Liga Jepun.
Menurut Hang Seo yang akan tamat kontraknya pada Januari 2023, banyak kelab-kelab di Korea dan Jepun menyatakan minatnya kepada pemain-pemain Vietnam tetapi kelab pula yang menghalangnya.
Kekurangan pendedahan kepada pemain dalam liga yang benar-benar kompetitif ini menurutnya boleh menjejaskan sasaran Vietnam untuk layak ke Piala Dunia 2030. Walaupun sistem pengurusan liga dan kelab di Vietnam semakin baik, namun aspek ini perlu dibuat penambahbaikan, kata Hang Seo.
Bagaimana agaknya kalau pemain-pemain kelab bolasepak di Malaysia pula yang
mendapat tawaran sedemikian?? Peluang beraksi bersama kelab-kelab hebat di ‘K League’ dan ‘J League’. Ada ke pemain-pemain kita yang diintai oleh mereka??? Kalau ada yang ditawarkan agak-agaknya ada ke pemain-pemain atau kelab yang tidak membenarkan pemain itu bermain di luar negara??? Rasanya kecil tapak tangan maunya mulut tempayan ditadahkan.
Ariakian baru dapat terpilih dalam Liga J Divisyen 3 pun kita dah rasa hebat sangat (dipilih pun sebab kepentingan perniagaan antara dua negara, sama juga dengan yang di Belgium) itupun simpanan je, kalau diturunkan dalam kesebelasan utama boleh riuh semalaya, lagi gempak kalau dapat sumbat gol ………tular beb….
Malangnya kita ni pantang dengar kabar angin sahaja berita dah ‘viral’ gila. Ada
pemain-pemain Harimau Malaya kita kononnya diintai pelbagai kelab-kelab professional luar negara. Malah macam-macam versi berita yang terpapar di pelbagai media negara ini.
Hairannya, berita itu akhirnya sunyi sepi, sejuk sendiri, macam syok sendiri pulak kita ni. Mungkin agen-agen bolasepak luar negara ni faham agaknya bahawa pemain kita ni dah biasa dengan amalan ‘hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baiklah negeri sendiri’…..kih3. Biasalah……kadang-kadang orang kita ni lebih hebat dari televisyen CNN…..
Itu kaitan cerita Park Hang Seo di Vietnam, bagaimana pula dengan situasi di Malaysia. Sandiwara bolasepak kita ini seperti di Vietnam turut membabitkan aktor hebat dari Korea, iaitu Kim Pang Gon.

Muncul bagai penyelamat kepada maruah bolasepak negara apabila mengemudi Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Asia 2023. Aktor Korea berambut kerinting ini walaupun tidak sehebat aktor nombor satu Korea, Lee Min Ho, namun ia semakin dipuja peminat bolasepak di Malaysia.
Ibarat aktor yang makin popular sudah pasti makin menjadi tumpuan. Prestasi perlu dijaga, tindak tanduk juga perlu diawasi. Tutur kata juga perlu bersopan. Pendek kata, perlu peka kepada pelbagai sensitiviti. Ibarat orang merantau, hayatilah pantun ini;
Pukat rantau telah tersadai
Pukat dimuat dalam jongkong
Adat merantau mencari pandai
Adat berniaga mencari untung
Pancang jermal di tengah laut
Dilanda pasang tidak tenggelam
Orang berakal menjaga mulut
Di muka orang banyaklah diam
#Khazanah Pantun Melayu Riau (DBP)
Namun pastinya Kim Pan Gon kini sudah mula berasa pening lalat tatkala nak mempersiapkan Harimau Malaya bagi menghadapi Piala AFF 2022 ini. Senarai ‘call up’ pemain kali ini menimbulkan kehairanan. Sekaligus menimbulkan pelbagai perspektif dan persepsi yang bercampur baur secara realiti atau yang tersembunyi.

Pahlawan dan Laksamana yang sepatutnya dikumpulkan oleh Pang Gon namun hanya sekumpulan hulubalang yang sudi tampil menawarkan diri untuk
berjuang. Bagaimanakah agaknya Sang Harimau mahu bertempur di medan perang, menentang Sang Garuda, Sang Gajah Perang, Sang Singa dan lain-lain. Walaupun tidaklah sampai tanah tergadai atau terjajah, namun ada maruah yang perlu dipertahankan.
Mana dia Mat Kilau, Tok Janggut, Mat Lela atau Dol Said?? Atau ke mana perginya Laksamana Hang Tuah bersaudara, Panglima Salleh atau Pahlawan Si Bongkok dan ramai lagi….masih adakah semangat mereka ini??…..tidak adakah lagi semangat ini pada pemain-pemain kita sekarang???…..ya…semua yang saya sebutkan ini hanya pelambangan atau kiasan sahaja. Yang faham….fahamlah….
Namun inilah kenyataannya. Di saat kita memerlukan pendekar-pendekar dan
laksamana-laksamana kita, namun mereka memilih untuk berehat di rumah kerana sudah lelah berjuang, sudah bukan lagi dalam musim membanting tulang, musim menuai sudah berakhir, sekarang ini musim tengkujuh, sekarang ini musim mengawan atau juga musim untuk memikat burung merbok agar dapat terbang sejoli. Ini juga musim merawat kecederaan, memulihkan bengkak-bengkak di kaki dan mengurut bisa-bisa dan sengal badan atau ini waktu melibur diri. Jangan diganggu kerana ini hak mereka. Siapa pun tidak punya hak untuk memaksa. Kita pun tidak mahu prejudis dengan situasi ini……faham-fahamlah sendiri…..
Biarlah yang berjuang bermati-matian hanya sang hulubalang, mereka perlu berjuang untuk diangkat menjadi Panglima
atau Laksamana. Kalau cedera teruk sekalipun senang saja boleh diganti. Lainlah kalau Panglima dan Laksamana yang berjuang cedera teruk nanti boleh memakan diri……
Kesian Kim Pan Gon, Kesian FAM, kesian peminat-peminat bolasepak negara, penyokong-penyokong tegar Harimau Malaya. Namun inilah hakikatnya, kita perlu memahami…..bahawa duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit.
Selamat Berjaya Harimau Malaya di Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
Add Comment