Bola Sepak

Faisal sah tinggalkan TFC, tidak ikut Nafuzi


Faisal akui sedih meninggalkan TFC.

Pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim mengesahkan meninggalkan pasukan tersebut selepas menabur bakti selama dua musim namun tidak sehaluan pengendalinya, Nafuzi Zain yang turut tinggalkan Sang Penyu.

Pemain Kebangsaan itu juga tidak mendedahkan destinasi baharunya walaupun telah dikaitkan bakal bersama dengan Selangor FC pada musim hadapan yang mana kehadiran dia bakal memperkuatkan The Red Giant yang juga berada pada prestasi terbaik Di bawah kendalian Tan Cheng Hoe.

“Sudah tentu saya tidak akan bersama TFC lagi pada musim depan, pertemuan dengan Selangor FC pada aksi separuh akhir kedua adalah yang terakhir buat saya bersama TFC, saya cuba buat yang terbaik pada aksi terakhir itu, tapi saya gagal, bermakna saya belum cukup bagus untuk diangkat sebagai bintang.

“Selama dua tahun saya berada di Terengganu, pihak pengurusan menjaga saya dengan baik, begitu juga jurulatih, Nafuzi yang berada di belakang saya.

“Apa yang boleh saya katakan inilah masa yang terbaik untuk saya, lagipun tahun ini adalah tahun yang luar biasa TFC,” katanya ditemui selepas berakhir perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak pada malam Isnin yang berakhir dengan pasukannya merakam kemenangan 1-0.

Jelas Faisal, pemain itu juga tidak akan bersama Nafuzi yang juga bakal menyertai pasukan lain yang dikaitkan dengan Kedah Darul Aman FC.

“Buat Nafuzi, saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama satu haluan dengan beliau pada musim depan kerana saya perlu buat keputusan demi keluarga dan masa depan, bukannya faktor gaji.

“Saya harap beliau dapat memahami situasi ini dan memaafkan saya,” katanya lagi.

Ujarnya, tempoh masa yang ada digunakan untuk berehat sementara menunggu panggilan Harimau Malaya menyertai aksi antarabangsa selepas beraksi semua perlawanan bersama TFC musim ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: