Bola Sepak

Pasukan mana ganti Melaka United slot Piala Malaysia?


FOTO MU FC

Selepas Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan Melaka United FC tidak dibenarkan beraksi dalam kejohanan TM Piala Malaysia 2022, kini mata terarah pasukan manakah yang akan mengantikannya.

Kegagalan kelab berkenaan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai kini telah membuka ruang kepada pasukan lain untuk mendapatkan slot tersebut.

Melaka United telah menerima notis peringatan pada 6 September untuk menyelesaikan segala tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama pegawai dan pemain yang terlibat sehingga 20 September.

Bagaimanapun pada 21 September, Melaka United hanya dapat mengemukakan bukti pembayaran sehingga Jun 2022.

“Melaka United gagal mematuhi arahan yang telah dikeluarkan di mana mereka hanya membuat pembayaran baki tunggakan gaji sehingga Jun 2022. Selain itu mereka juga belum mendapatkan persetujuan bersama pemain dan pegawai bagi bayaran baki tunggakan gaji berkenaan.

“Maka atas sebab itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan tidak membenarkan Melaka United bertanding dalam saingan TM Piala Malaysia musim ini.

“MFL mengingatkan agar Melaka United dapat menyelesaikan baki tunggakan gaji berkenaan bagi mengelakkan mereka tidak diberikan lesen bersaing dalam Liga Malaysia 2023,” jelas MFL dalam satu kenyataan rasmi pada Rabu.

Berkenaan dengan pasukan gantian slot Melaka United untuk TM Piala Malaysia, MFL akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Sementara itu, Sarawak United FC telah menjelaskan semua bayaran gaji tertunggak kepada pemain sehingga bulan Ogos 2022.

Bayaran gaji tertunggak kepada pegawai pasukan pula telah dibayar sehingga bulan Julai 2022 walaubagaimanapun Sarawak United dan pegawai pasukan telah mencapai persetujuan bersama berkenaan bayaran tunggakan gaji bulan Ogos 2022.

“Walaupun ada usaha ditunjukkan oleh pihak pengurusan Sarawak United untuk menyelesaikan tunggakan gaji ini, MFL tetap memberi peringatan kepada Sarawak United agar isu seumpama ini tidak berulang lagi yang boleh memberi kesan kepada lesen untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2023,” katanya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading