Kementerian Perpaduan suntik pembaharuan dalam Anugerah SAM


Ismadi (belakang, empat dari kanan) semasa Pelancaran Minifootball yang disertai oleh pemain berbilang kaum.

KUALA LUMPUR- Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) buat julung kalinya memperkenalkan dua kategori dibawah Anugerah Perpaduan iaitu Laporan Media Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik bagi menyuntik pembaharuan dalam penganjuran Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM 2020/2021 yang akan berlangsung pada 6 September ini.

Pengamal media mendapat satu lagi pengiktirafan ini apabila Kementerian Perpaduan Negara bersetuju untuk menjalin kerjasama bagi mengangkat hasil karya wartawan sukan melalui Anugerah 100PLUS Perpaduan SAM 2020 / 2021 yang akan diadakan sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya Selasa ini.

Kerjasama antara SAM dan Kementerian Perpaduan Negara ini dilihat sebagai satu lagi medan pengiktirafan kepada penggiat media sukan tanah air yang turut memainkan peranan secara tidak langsung untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan keluarga Malaysia melalui laporan sukan serta paparan fotografi masing-masing.

 “SAM sangat teruja dengan penglibatan Kementerian Perpaduan Negara dalam anugerah kali ini. Ini membuktikan peranan wartawan dan jurufoto sukan melangkaui segala perbezaan dan menjadi ejen perpaduan menerusi laporan dan foto yang mereka hasilkan.

 “SAM berharap kerjasa yang terjalin dengan Kementerian Perpaduan Negara tidak hanya berakhir di sini malah diteruskan pada masa akan datang. SAM juga sangat berbesar hati untuk membantu Kementerian Perpaduan Negara dalam program-program anjuran mereka selepas ini.

 “SAM juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Menteri Perpaduan Negara dan seluruh warga Kementerian Perpaduan Negara atas kerjasama ini,” jelas presiden SAM, Norismadi Abd Manap.

Menurut Norismadi, walaupun baharu diperkenalkan, penyertaan bagi kategori Anugerah Perpaduan Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik mendapat sambutan menggalakkan, dengan hampir 100 penyertaan diterima.

“Melalui kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara, kita memberi peluang kepada ahli-ahli SAM untuk meluaskan karya dan menceburi sisi lain dalam penulisan sukan. Dan dalam kategori fotografi perpaduan pula, jurufoto boleh mempamerkan kekreatifan mereka merakam momen-momen bermakna berkaitan perpaduan dalam sukan.

 “Kita tidak nafikan sukan merupakan salah satu elemen penting untuk membentuk perpaduan. Saya berharap agar kerjasama strategik ini akan berterusan pada masa hadapan dan mengalu-alukan bentuk kerjasama yang sama daripada pelbagai pihak,” kata Norismadi.

 Anugerah SAM yang bermula pada tahun 1985 untuk menghargai peranan atlet dan warga kewartawanan sukan tempatan dengan enam kategori Anugerah Kewartawanan mula dipertandingkan pada tahun 2009 selain anugerah kepada atlet terbaik negara.

Majlis Anugerah 100Plus Perpaduan SAM 2020/2021 kali ini menggabungkan dua edisi iaitu tahun 2020 dan 2021 dengan menawarkan jumlah keseluruhan hadiah wang tunai paling tinggi dalam sejarah penganjurannya iaitu sebanyak RM109,000.

 Hampir 200 penyertaan diterima termasuk daripada portal-portal sukan pada anugerah kali ini, dengan sejumlah 17 anugerah kewartawanan bakal diberikan melibatkan lapan kategori masing-masing bagi tahun 2020 dan 2021 dan serta satu penghargaan tertinggi iaitu Anugerah Siebel.

Selain Anugerah Khas, dua lagi kategori; Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2020/2021 dijangka menjadi tumpuan bagi melihat siapakah atlet negara yang bakal menaiki pentas untuk bergelar pemenang.

Enam kategori dipertandingankan iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Dua kategori baharu yang diperkenalkan mulai tahun ini ialah Laporan Perpaduan Terbaik dan Fotografi Perpaduan Terbaik.

Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel dan hadiah wang tunai RM7,000.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: