
Bali United FC pastinya mempunyai kelebihan berbanding Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi pertama Kumpulan G Piala AFC 2022 di Stadium Capt. I Wayan Dipta, Bali pada Jumaat.
Pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, perlawanan itu memberikan kelebihan buat pasukan tuan rumah, Bali United FC memandangkan pasukan tersebut beraksi digelanggang sendiri.
Menurutnya, juara Liga Indonesia itu juga pasti selesa dengan kehadiran penyokong mereka.
“Di kem Sang Kenari, dengan ramai pemain utama bersedia dengan tahap kecergasan ketika ini, tentangan hebat akan diberikan memandangkan setiap mata dalam peringkat kumpulan ini adalah amat penting,” katanya pada sidang media pra-perlawanan pada Khamis.
Bagi pemain pertahanan KDA FC, Mohd Akmal Md Zahir pula, beliau dan rakan sepasukan melihat peluang beraksi di pentas Asia akan digunakan sebaiknya dengan memberikan komitmen penuh mengikut perancangan barisan kejurulatihan.
Menurutnya, dengan beberapa muka baru pemain import skuad Sang Kenari, perancangan kali ini lebih ampuh bagi memberikan satu cabaran padu untuk memburu mata pertama pada malam Jumaat.
Add Comment