
Penang FC akhirnya mencatatkan kemenangan pertama pada aksi Liga Super 2022 selepas mengejutkan Terengganu FC (TFC) pada aksi ke-10 liga di Stadium Bandaraya pada Rabu.
Sang Penyu yang hadir dengan motivasi tinggi terlebih dahulu dikejutkan jaringan pemain tuan rumah, Hilal El Helwe pada minit ke-23 untuk meletakkan pasukan tersebut 1-0 di hadapan.
Namun TFC bangkit menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-50 menerusi pemain sayap lincahnya, Faisal Halim bagi meredakan tekanan yang dihadapi pelawat.
Namun selang dua minit kemudian, Harimau Kumbang kembali di hadapan 2-1 hasil jaringan T Saravanan untuk kedudukan 2-1.
Pasukan pelawat berusaha memburu gol penyamaan melalui serangan demi serangan yang disusun barisan penyerangnya seperti Kipre Tchetche, Kpah Sherman dibantu Nik Muhammad Sharif namun dipatahkan pertahanan tuan rumah sehingga ke wisel penamat.
Kemenangan tersebut menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan melonjakkan ke tangga ke-11 liga dengan tujuh mata selepas satu menang, empat seri dan lima tewas.
Add Comment