TERENGGANU – Politeknik Malaysia (Polimas) melakar sejarah menjuarai Liga Super Futsal Institusi Pengajian Tinggi (LFIPT) 2022 buat kali pertama setelah tamat sirkit akhir kejohanan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), kelmarin. Manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga muncul juara kategori Liga Premier buat kali pertama selepas diturunkan dari Liga Super musim lalu.
Polimas seharusnya berterima kasih kepada juara bertahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menumbangkan Kolej Politech MARA (KPTM) Bangi 7-4 sehari sebelum itu. Sekaligus membolehkan kedudukan teratas dirampas oleh Polimas yang melengkapkan aksi hari terakhir dengan membelasah KPTM 8-1.
Juara bertahan tiga kali berturut-turut, UiTM terpaksa berpuashati selaku naib juara, dan ketiga milik KPTM. Naib juara liga premier menjadi milik Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ketiga, Universiti Tenaga Nasional (UniTen).
“Selepas penyertaan KPT di MPFL tahun ini, saya dapati pemain-pemain Futsal IPT begitu bersemangat sekarang ini. Saya aku ramai yang sangat berbakat, dan kita harap mereka jangan mewakili pasukan luar untuk bersama dengan pasukan KPT-PST Mustangs pada MPFL musim depan”, Dr PekanRamli, Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik, KPT.
Malang bagi pasukan Liga Super, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang terpaksa turun beraksi di Liga Premier musim depan.
Manakala empat pasukan Liga Premier layak beraksi pada Liga Super musim depan diketuai UPSI, UUM, UniTen dan Management and Science University (MSU).
Enam pasukan Liga Premier tersingkir untuk beraksi kembali pada pusingan kelayakan musim depan iaitu UPM, UTM, UTeM, UniSZA, UniMAP dan UMT.
Add Comment