
Berita baik buat penyokong Harimau Malaya apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penjualan Tiket Kombo RM100 untuk menyaksikan semua enam perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun ini.
Naib Presiden FAM, Dato’ Posa Haji Majais berkata, penyokong akan dapat menonton satu perlawanan sebelah petang dan satu lagi perlawanan membabitkan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon pada sebelah malam.
Menurutnya, tiket boleh didapati menerusi pembelian awal pada waktu terhad dari 16 hingga 29 Mei 2022 di http://www.tickethotline.com.my.

“FAM berprihatin terhadap penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga Hari Perlawanan bagi saingan kelayakan Kumpulan E ini dan sebagai tanda penghargaan daripada FAM, kita memperkenalkan Tiket Kombo RM100 ini supaya ia dapat memudahkan mereka selain memberikan sedikit penjimatan dari segi harga.
“Bagaimanapun, tawaran Tiket Kombo RM100 ini hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh selama dua minggu sahaja iaitu bermula Isnin depan, 16 Mei 2022 sehingga Ahad, 29 Mei 2022 secara dalam talian di http://www.tickethotline.com.my,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, pasa
Menurutnya, selepas berakhir tempoh tersebut, penjualan akan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 bagi setiap Hari Perlawanan.
“Jadi kepada penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga Hari Perlawanan, tidak perlu membeli tiket RM40 secara berasingan sebanyak tiga kali yang harganya akan berjumlah RM120, sebaliknya lebih mudah dan jimat jika anda membeli saja Tiket Kombo RM100 ini,” ujarnya.
Selain Tiket Kombo RM 100 dan tiket RM 40 bagi tempat duduk terbuka, FAM turut memperuntukkan penjualan sebahagian tiket untuk kategori Grandstand yang berharga RM 60 untuk 1 hari perlawanan.
Sementara itu, tiket kanak-kanak pula berharga RM7 untuk 1 hari perlawanan iaitu bagi kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun.
FAM juga mengumumkan sebanyak 80,000 tiket akan dijual untuk setiap perlawanan.
Add Comment