
Perjalanan kerjaya Pemain Paling Bernilai (MVP) 2021, Arif Aiman Hanapi masih jauh dan publisiti terhadap pemain berusia 19 tahun perlu dikurangkan agar tidak memberi kesan kepada prestasi semasanya yang sedang meningkat naik.
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata demikian mengulas perkembangan semasa penyerang lincah tersebut yang kini menjadi tumpuan netizen dan terbaru membantu Harimau Selatan melakar sejarah mara ke peringkat 16 pasukan terbaik AFC Champion League 2022.

Menurutnya, beberapa pemain JDT hilang fokus disebabkan oleh publisiti yang meluas atas kejayaan dan pencapaian yang memberangsangkan sebelum ini.
“Pandangan saya pada dia stay humble, fokus pada kerjayanya dalam bolasepak, bekerja keras kerana dia masih muda. Perjalanan masih jauh. dan pihak media juga jangan banyak sangat bagi tumpuan padanya.
“Kerana apabila kita memberikan publisiti kepada seseorang itu terlampau banyak sangat, kita boleh nampak apa yang terjadi pada sesetengah pemain kami,” katanya secara eksklusif kepada Cakap Sukan.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata demikian selepas meraikan kejayaan JDT menewaskan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi akhir Kumpulan 1 ACL 2022 sekaligus muncul juara kumpulan dengan mengumpul 13 mata.
Jelasnya, Arif Aiman adalah seorang pemain muda yang bertenaga dan berani dalam membuat beberapa keputusan semasa berada di atas padang.
Secara berseloroh, Tunku Ismail juga meminta Arif Aiman mendapatkan pandangannya terlebih dahulu jika mahu mencari pasangan hidupnya selepas ini.
“Kalau dia nak cari bini kena tanya saya dulu, macam mana sesuai ataupun tidak, layak atau tidak. Orang perempuan yang baik ataupun tidak,” ujarnya.
Ditanya pandangan netizen yang mahu pemain tersebut mencari seorang ustazah sebagai pasangan hidup, TMJ dengan segera berkata – Saya setuju!
Add Comment