Bola Sepak Terkini

Peluang skuad muda negara berlatih di Turin


Pemain muda negara khususnya skuad Bawah 17 Tahun (B-17) kebangsaan berpeluang menjalani latihan di Akademi Juventus yang berpangkalan di Turin.

Perkara tersebut susulan hasrat Kelab gergasi bola sepak Itali, Juventus yang mahu bekerjasama dua hala memperkasakan lagi bola sepak terutama di peringkat akar umbi serta belia bersama badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Hasrat kelab itu disampaikan delegasi Juventus FC diwakili Pengarah Urusannya, Federico Palomba dan Pengurus Jualan Kerjasama, Kelvin Leung selepas melakukan kunjungan hormat bertemu Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di Wisma FAM pada Isnin.

Menurut Hamidin, Juventus berminat meninjau peluang untuk membangunkan program pertandingan bola sepak di peringkat junior.

“Kerjasama ini berpotensi membawa manfaat kepada bola sepak Malaysia.

Dengan reputasi sebagai gergasi Itali, Juventus berhasrat berkongsi kepakaran mereka dengan Malaysia.

“Mereka juga bercadang beraksi dalam perlawanan pertunjukan di negara kita dalam tempoh di antara Disember 2022 dan Julai 2023.

“Juventus juga inginkan Malaysia membuat kunjungan balas bagi meninjau kemudahan ke ibu pejabat dan fasiliti serba lengkapnya di Turin,” katanya yang dipetik daripada laman sosial rasmi FAM.

Tambahnya, kelab tersebut juga meninjau potensi untuk membuka akademinya di negara ini.

“Pemain kanak-kanak di peringkat akar umbi berpeluang menguji kemampuan masing-masing dengan turut serta dalam saingan Akademi Piala Dunia Juventus.

“Apa yang saya lihat menerusi perbincangan awal ini, potensi jalinan kerjasama antara Juventus dan FAM mampu mendedahkan bakat tempatan kepada corak latihan sebuah kelab gergasi Eropah,” ujarnya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d