Bola Sepak

Perak FC kena potong tiga mata


May be an image of text that says '2020 PERAK FOOTBALL CLUB เบ 出 TBG LIGA PREMIER MALAYSIA PERAK FC DIKENAKAN HUKUMAN PEMOTONGAN TIGA MATA LIGA PREMIER 2022 MFL PUMA ACTIVE SPERTS POS @unifı malaysia Luno PROVITON STR MALAYSIA LIGA 2022'

PERAK FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Premier 2022 seperti diumumkan badan bebas, First Instance Body (FIB) hari ini.

Tindakan diambil kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team sehingga November 2021 berdasarkan Akuan Berkanun (SD) yang dihantarkan oleh Perak FC bertarikh (15 Disember 2021).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat FIB Pelesenan Kelab MFL yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli-ahli jawatankuasa berkenaan kes tunggakan yang berlaku pada musim 2021.

Menurut Sheikh Mohd Nasir, Perak FC gagal melunaskan baki tunggakan gaji pada tarikh pertama yang ditetapkan oleh FIB iaitu pada 31 Mac 2022.

“Pihak pengurusan Perak FC sebelum ini telah bersetuju untuk menjelaskan baki tunggakan gaji tahun lalu melibatkan pemain dan pegawai pasukan utama dan reserve team berjumlah RM 934,729.42 pada 31 Mac 2022 namun mereka didapati gagal untuk berbuat demikian.

“Justeru itu, Jawatankuasa FIB yang bermesyuarat hari ini memutuskan untuk menjatuhkan hukuman pemotongan tiga mata kepada Perak FC.

“Jika Perak FC masih gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji berkenaan pada tarikh akhir kedua (14 April 2022) maka pada 15 April 2022, mereka boleh dikenakan hukuman pemotongan enam lagi mata dalam saingan Liga Premier dan pengurangan dana,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Sheikh Mohd Nasir lagi, sekiranya Perak FC masih gagal membuat bayaran tunggakan gaji tersebut sebelum atau pada 21 April 2022, maka pada 22 April 2022 MFL akan memanjangkan kes ini kepada FIB bagi tindakan lanjut.

Untuk rekod bagi kes tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pertama dan reserve team tahun lalu, MFL telah menghantar surat pekeliling kepada Perak FC pada 15 November 2021 untuk menyerahkan akuan bersumpah (SD) semua bayaran berkenaan.

KRONOLOGI :

15 Disember 2021 Perak FC telah memuat naik SD ke dalam sistem AFC CLAS.

11 Januari 2022, Perak FC telah menghantar e-mel mengenai jumlah tunggakan pembayaran gaji sehingga November 2021 melibatkan pemain dan pegawai, LHDN, KWSP dan PERKESO.

9 Mac 2022, MFL telah menghantar surat kepada Perak FC untuk mengarahkan agar bayaran tunggakan pemain dan pegawai bagi pasukan utama dan reserve team dijelaskan sebelum 31 Mac 2022 bagi mengelak daripada dikenakan tindakan.

25 Mac 2022, MFL telah menghantar peringatan pertama kepada Perak FC dan disusuli peringatan kedua pada 29 Mac 2022.

30 Mac 2022, Perak FC telah menghantar surat permohonan untuk melanjutkan tarikh akhir walau bagaimanapun, pada 31 Mac 2022 Jawatankuasa FIB melalui MFL telah membalas surat Perak FC dengan menolak permohonan tersebut.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: