
Oleh: SURYATI MOHD NOR
PRESIDEN Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Datuk Megat Zulkarnain Omardin mengumumkan sasaran pingat emas pasukan silat negara yang bakal bersaing pada temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam Mei ini.
Menurut Megat, sasaran tiga pingat dalam 16 acara yang bakal disertai adalah mengambil kira pelbagai faktor terkini termasuk cabaran dengan peraturan baharu sukan tempur ini yang mula diperkenalkan pada tahun 2020.
“Tempoh dua bulan bukan masa yang panjang. Pesilat-pesilat baharu yang terpilih ini ada kemampuan untuk kita tonjolkan dan mahir dengan peraturan baharu yang dikemukakan.
“Mudah-mudahan dengan gabungan lama dan baharu kita boleh bagi saingan, tapi saya boleh berjanji Pesaka akan pastinya tidak akan pulang dengan tangan kosong.
“Sasaran tiga pingat emas dalam 16 acara yang disertai berdasarkan prestasi kita. Mungkin jumlah yang kecil berbanding dengan kejohanan-kejohanan sebelum ini. Biarlah kita buat sasaran tidak tinggi tetapi ianya dapat capai.
“Kalau lebih daripada itu, ia adalah bonus dan saya akan pastikan semua pegawai Pesaka akan berusaha melatih untuk meneruskan semangat pesilat-pesilat kita,” jelasnya.

Dalam pada itu, Megat mengakui cabaran Sukan SEA kali ini lebih berbeza memandangkan peraturan baharu yang menyaksikan beberapa buah negara dilihat sudah dapat menyesuaikan diri.
“Pada pertandingan pencak silat terbaharu di Singapura bulan lepas (Kejuaraan Pencak Silat Asia Tenggara), kita turut sertai dan pesilat kita meraih dua pingat emas, enam perak dan empat gangsa.
“Namun secara peribadi saya agak terkejut melihat negara Vietnam dan Thailand yang lebih menonjol dengan peraturan baharu kerana mereka ini tidak terlibat secara langsung pada awal (undang-undang baharu digunakan), malah tidak juga terlibat di setiap bengkel yang kita buat.
“Tetapi masa pertandingan, mereka dilihat sangat bersedia dan menonjol,” ujarnya.
Namun Megat memberitahu, ia bukan ‘butang panik’ buat Pesaka kerana pesilat-pesilat negara masih boleh lagi diharapkan.
“Enam pingat emas yang diraih Vietnam (di Singapura) satu jumlah yang besar. Tetapi saya tidak panik kerana yakin dengan pesilat-pesilat baharu dan lama yang boleh diharapkan untuk meraih emas nanti (Sukan SEA).”
Seramai 22 atlet silat dari dua kategori (olahraga dan seni) terpilih ke Sukan SEA bermula 12-23 Mei ini bersama enam orang pegawai.
Sebagai rekod, antara peraturan baharu yang digunakan seperti membenarkan membuat tumbukan Superman, tarik dan pukul, pukul di bahagian belakang vest, pukulan tangan belakang, lompat dan menyiku ke vest, membuat kuncian, sekali gus menjadikan sukan silat lebih menarik seperti Seni Mempertahankan Diri Campuran (MMA).
Add Comment