KUALA LUMPUR – Barisan atlet negara yang mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia, termasuk Olimpik Paris 2024, tersenarai dalam pencalonan akhir bagi Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik sempena Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)–100PLUS 2024.
Antara calon utama bagi kategori Atlet Terbaik ialah gandingan badminton lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, yang meraih pingat gangsa di Olimpik Paris.
Mereka bakal bersaing dengan pelari menara Soh Wai Ching, atlet tenpin boling Sin Li Jane, jaguh wushu Tan Cheong Min, serta pemain boling padang nombor satu dunia, Farah Ain Abdullah.
Sementara itu, persaingan bagi kategori Atlet Para Terbaik menyaksikan dua nama besar kembali merebut trofi iaitu Cheah Liek Hou (para badminton) dan Bonnie Bunyau (powerlifting), yang masing-masing berpeluang merangkul gelaran buat kali ketiga sejak anugerah ini diperkenalkan pada 2016.
Turut tersenarai ialah atlet lontar peluru F20, Ziyad Zolkefli; jaguh lompat jauh T20, Datuk Latif Romly; dan pelari pecut T44, Eddy Bernard.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap berkata, kedua-dua pemenang utama akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.
“Anugerah ini bukan sahaja mengiktiraf pencapaian atlet, tetapi juga menghargai sumbangan wartawan dan pengulas sukan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan negara,” katanya pada sidang media pengumuman pencalonan, di sini.
Turut hadir, Pengarah Libat Urus Kerajaan dan Industri Fraser & Neave Holdings Bhd, Norazrin Norsyam Yee. 100PLUS merupakan penaja utama anugerah ini sejak 2003.
Dalam perkembangan sama, SAM turut mengumumkan peningkatan hadiah wang tunai bagi Anugerah Siebel (kewartawanan sukan terbaik) daripada RM7,000 kepada RM10,000, manakala Anugerah Pengulas Sukan Popular dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM3,000.
Anugerah kewartawanan sukan dibahagikan kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak dan Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak dan Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik
Majlis Anugerah SAM–100PLUS 2024 dijadual berlangsung pada 14 Julai ini dan akan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
“Kami berharap anugerah ini terus menjadi platform untuk mengangkat martabat atlet dan media sukan tanah air,” kata Norismadi.
Kata beliau lagi, pengeluar minuman isotonik nombor satu negara, 100PLUS telah bekerjasama dengan SAM sejak sekian lama dan merupakan penaja utama Anugerah Persatuan
Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS sejak 2003 .
“Kerjasama antara SAM dan 100PLUS yang juga sudah terjalin sekian lama dan sentiasa menambah baik dari semasa ke semasa. Kami berterima kasih kepada 100PLUS di atas kerjasama dan sokongan yang diberikan,” ujarnya.





Add Comment