Lain-Lain

Farah Ann bersara sebagai atlet, bakal teruskan karier jadi pengadil gimnastik


Aksi terakhir Farah Ann sebagai atlet di pentas Sukan Olimpik di Tokyo tahun lalu.

RATU gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi secara rasminya mengumumkan persaraan dalam kariernya sebagai atlet.

Atlet kelahiran Selangor itu menjadi perhatian selepas berdiam diri mengenai statusnya untuk bersama skuad Sukan SEA Hanoi Mei ini, namun akhirnya terjawab.

Menurut Farah Ann, bukan keputusan yang mudah untuk bersara selepas 25 tahun berkorban untuk mencipta nama dan membawa nama Malaysia di persada antarabangsa.

“Selepas Sukan Olimpik Tokyo tahun lalu, saya yakin masih boleh pergi jauh dan bersemangat tinggi untuk kembali berlatih.

“Tetapi saya perlu buat sesuatu untuk diri saya kerana semuanya sudah saya capai. Sebab itu saya perlu bersara bagi peluang kepada orang lain. Bukan kerana kecederaan kerana itu (kecederaan) adalah sebahagian daripada lumrah apabila bergelar atlet.

“Malah keputusan yang diambil ini bukan sehari dua… meeting dengan jurulatih, MGF (Persekutuan Gimnastik Malaysia) dan akhirnya saya rasa keputusan yang diambil ini adalah untuk diri saya. Keputusan betul,” ujarnya dalam sidang media khas yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Arena pada Isnin.

Dalam pada itu Farah Ann, 27, memberitahu sudah tentu selepas ini dia akan merindui suasana untuk bertanding.

“Sukar untuk lepaskan sesuatu yang membuatkan saya gembira. Ia cinta pertama saya. Tetapi saya juga teruja untuk teruskan ‘new journey’ tidak lama lagi. Sebelum itu saya akan pergi berjumpa dengan kakak saya di Australia untuk bercuti bersama keluarga. Bercuti dan rehat selepas 25 tahun.

“Walaupun saya bersara sebagai atlet, saya masih ada dalam sukan gimnastik. Saya dah mula belajar jadi pengadil dan akan menjalani kursus itu.

“Selain itu, impian terdekat saya (mungkin beberapa tahun lagi), saya akan anjurkan kejohanan gimnastik secara kecilan dahulu iatu Piala Farah Ann. Ia sebagai inspirasi kepada orang lain untuk mencapai impian mereka dalam sukan ini,” tambahnya.

Sebagai rekod, Farah antara atlet gimnastik artistik negara yang paling berjaya di Sukan SEA apabila sebelum ini berjaya meraih tujuh emas menerusi penampilan pada edisi 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Manila.

Dia juga mencipta sejarah apabila menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: