
BEKAS pemain hoki antarabangsa, S.Sivabalan dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu.
Berita sedih itu dikongsi oleh bekas pemain kebangsaan Maninderjit Singh di laman Twitternya.
Just received sad news former hockey international S Sivabalan (TNB) just passed away while participating a hockey event in Ipoh. Unbelievable, a great player and good friend. May his soul rest in peace. Very sad about his lost and gone too soon.Take care Anna till we meet again
— Maninderjit (Mike) OLY (@ManinderjitMike) March 12, 2022
Menurut perkongsian tersebut, Sivabalan meninggal dunia ketika sedang menyertai satu acara hoki di Ipoh.
Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, hasil maklumat yang diterima daripada saksi kejadian yang merupakan anak saudara mangsa, Sivabalan dilaporkan tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri semasa berhenti rehat pada pukul 3.30 petang.
“Setelah perlawanan masa pertama tamat, mangsa bersama anak saudaranya berehat di tepi tembok padang tersebut dan kemudian mangsa tiba-tiba rebah di tempat itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Yahaya berkata, mangsa berusia 59 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun dan hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang kesan jenayah pada tubuhnya.
Beliau berkata kes diklafikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Sivabalan pernah mewakili skuad kebangsaan pada era 80-an dan turut bermain untuk pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikenali Kelab Kilat (1990-an).
Add Comment