Hoki

Terengganu muncul juara Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan 2022


Pasukan Terengganu merai kemenangan Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan 2022. 

PASUKAN Terengganu muncul selaku pasukan pertama menjulang kejuaraan bagi Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan 2022 selepas menewaskan Pahang 2-1 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional pada Ahad.

Jaringan kemenangan menerusi gol Muhamad Shahrin Izzuddin Shamsuri yang menyempurnakan pukulan “challenge” pada minti ke-14 menjadi detik bersejarah buat Terengganu apabila menjulang trofi kejohanan yang pertama kali diperkenalkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bermula 2 Mac lepas.

Pahang, yang menundukkan Kelantan 3-2 menerusi challenge shoot-out pada separuh akhir pagi tadi untuk mara ke final, gagal merealisasikan sasaran meraih kejuaraan biarpun turun dengan status selaku pasukan teratas Kumpulan A.

Ketika saingan peringkat kumpulan, Pahang dan Terengganu terikat dengan keputusan seri 3-3.

Terengganu yang menamatkan saingan Kumpulan A dikedudukan keempat, mara ke pentas akhir selepas menjinakkan Kedah 2-1 di aksi separuh akhir pada sebelah pagi.

Kejayaan itu menyaksikan Terengganu membawa pulang hadiah wang RM10,000 dan medal manakala Pahang sebagai naib juara RM7,000.

Kelantan, yang sebelum itu menewaskan Kedah 5-4, pulang dengan hadiah wang RM5,000 sebagai pemenang tempat ketiga.

Kejohanan julung kali anjuran KHM menarik penyertaan 13 pasukan itu nyata menyuntik semangat baru buat pasukan untuk terus mengembangkan Hoki 5’s di peringkat negeri, seterusnya membentuk pasukan dan pemain yang mantap untuk saingan di peringkat antarabangsa.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d