
Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI
KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon telah mengenalpasti seramai 70 pemain pada peringkat awal sebelum memuktamadkan untuk memanggil 30 pemain dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan.
Tegasnya, dia bersama barisan kejurulatihan telah menghadiri beberapa perlawanan liga sepanjang minggu ini dan telah mengenal pasti kumpulan pemain untuk membentuk pasukan berpotensi menjadi teras pasukan kebangsaan Malaysia.
“Sejak seminggu yang lalu, panel jurulatih telah duduk bersama dan memberikan penilaian untuk pemain berdasarkan prestasi mereka.
“Kami bercakap dengan jurulatih dari pelbagai pasukan dan juga menilai maklumat tambahan berdasarkan statistik masa lalu dan minit permainan dalam perlawanan antarabangsa dari 2019 dan 2021.

“Berdasarkan perlawanan liga, kami mengenal pasti kumpulan hampir 70 pemain sebelum menyempitkannya kepada pemain yang kami percaya yang sesuai dengan falsafah permainan dan rancangan taktikal kami,” jelasnya pada sidang media di Wisma FAM, sebentar tadi.
Pan-gon yang mengambil alih peranan dari Tan Cheng Hoe berkata, berdasarkan pemerhatian dan pemantauan mereka, sama ada secara langsung atau secara tidak langsung , kita perlu menilai kemampuan pemain dari segi teknikal, taktikal dan tingkah laku profesional.
“Pasukan akan melaporkan diri untuk bertugas pada 14 Mac 2022 di Hotel PJ Hilton dan dijadualkan berlatih di Stadium Nasional Bukit Jalil,” jelasnya.
Kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Isnin, 14 Mac 2022 bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) bertemu Filipina (23 Mac) dan Singapura (26 Mac) serta satu lagi perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore pada 28 Mac 2022, ketiga-tiganya berlangsung di Singapura.











Add Comment