
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC, Khamal Idris Ali memberi ingatan bahawa rekod kemenangan ke atas Sarawak United FC (SUFC) ketika aksi Piala Sabah sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran buat pasukannya.
Khamal memberitahu, pasukan Kedah perlu terus berwaspada menjelang perlawanan pembukaan Liga Super bertemu SUFC di Stadium Negeri Kuching malam ini.
“Kemenangan mengatasi Sarawak United 3-0 di Likas pada pertandingan Piala Sabah tidak boleh di jadikan ukuran untuk meraih kemenangan mengatasi lawan malam ini.
“Kesemua pemain yang akan beraksi pada perlawanan malam ini perlu lebih berwaspada dengan kemahuan pasukan Sarawak mencari kemenangan di halaman mereka sendiri dan juga beraksi di hadapan ribuan pemainatnya pasti akan menyukarkan lagi misi mencari tiga mata penuh,” ujarnya.
Menurut Khamal, setelah melalui 11 perlawanan dan hanya kalah satu perlawanan membuktikan kemampuan pasukan Kedah musim ini yang di barisi oleh ramai muka baharu termasuk barisan pemain import.
“Memang satu tugas berat mencari kemenangan pada perlawanan malam ini tetapi bukan mustahil mencapai matlamat membawa pulang tiga mata penuh setelah kesemua pemain pasukan Kedah musim ini telah membuktikan kemampuan mereka pada 11 perlawanan ujian yang di hadapi.
“Ketika ini hanya Marc Vales tidak dapat beraksi pada perlawanan pembukaan tirai Liga Super setelah dia mengalami kecederaan ketika pasukan Kedah bertemu Pulau Pinang Sabtu lalu dan ketiadaannya sudah pasti tidak akan melemahkan ataupun mencacatkan prestasi pasukan.

“Barisan pemain Kedah musim ini adalah lebih baik dari musim lalu dan saya yakin prestasi mereka akan dapat ditingkatkan lagi demi kejayaan pasukan,” ujarnya.
Khamal yakin Ketua jurulatih Aidil Sharin sudah mengenalpasti kesebelasan utamanya yang bakal beraksi pada perlawanan malam ini.
“Aidil sudah pasti menyediakan ramuan terbaik untuk berdepan cabaran tuan rumah di hadapan peminat setia mereka.
“Apa yang melegakan saya adalah penyerang Dennis Buschening kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaannya.
“Aksi mantap dan kesefahaman yang baik dipamerkan di antara pemain import dan tempatan memberi harapan dan mencerahkan hasrat mahu membawa pulang tiga mata penuh dari Kuching sebelum bertemu juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman.
“Kemampuan barisan serangan yang di ketuai oleh Ronald Ngah Wanja, Shafiq Ahmad dan Dennis Buschening membuktikan kesefahaman baik di antara mereka,” tambah Khamal.





Add Comment