Bola Sepak

TFC dan PFC terima padah ekoran pergaduhan


TERENGGANU FC (TFC)  dan Penang FC (PFC) menerima hukuman ekoran pergaduhan yang tercetus ketika Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Menteri Besar Terengganu, baru-baru ini.

Dua pemain daripada setiap pasukan dikenakan denda serta penggantungan selepas didapati melanggar peruntukan yang sudah ditetapkan badan induk itu.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Che Mokhtar Che Ali berkata,  TFCII didenda RM10,000 dan PFC pula didenda RM5,000 susulan gagal menjaga tingkah laku dengan baik apabila pemainnya bergaduh dengan pemain pasukan lawan yang menyebabkan kecederaan dan keputusan ini tidak boleh dirayu.

“Pemain TFCII, Muhd Aqil Irfanuddin Mohd Sabri yang melakukan provokasi kepada pemain lawan digantung sebulan daripada terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak berkuatkuasa 24 Februari hingga 25 Mac selain denda RM2,000.

“Seorang lagi pemain TFCII, Mohammad Ridzuan Mohd Razali yang menendang, menumbuk muka pemain lawan digantung dua bulan berkuatkuasa 24 Februari hingga 24 April serta didenda RM4,000,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi , pemain PFC, Endrick Dos Santos pula digantung dua minggu berkuatkuasa 24 Februari 2022 hingga 9 Mac serta denda RM1,000 kerana didapati menumbuk bahagian belakang pemain pasukan lawan pada pertandingan terbabit.

“Seorang lagi pemain PFC, Anselmo Arruda Da Silva turut digantung sebulan daripada sebarang aktiviti bola sepak berkuatkuasa 24 Februari hingga 25 Mac selain denda RM3,000 kerana berkelakukan ganas apabila menendang pemain lawan dengan ‘flying kick’.

“Mereka diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dan keputusan ini tidak boleh dirayu,” tegasnya.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: