
NEGERI Sembilan FC (NSFC) muncul juara Piala Menteri Wilayah Persekutuan selepas menundukkan tuan rumah Kuala Lumpur City FC (KL City) dengan keputusan 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Skuad Hobin Jang Hobin tampil garang dengan membuka jaringan minit ke-11 menerusi pemain import dari Brazil Matheus Alves Leandro.
Babak pertama berakhir dengan kelebihan di tangan juara Liga Premier itu.
Sementara itu, pada babak separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan sukar mencari sebarang gol tambahan sehinggalah minit-90 gawang KL City sekali lagi digegarkan menerusi sepakan penalti pemain import dari Perancis Herold Goulon.
Kemenangan itu menyaksikan Negeri Sembilan FC membawa pulang wang tunai RM30,000 manakala KL City pula menerima wang sumbangan bernilai RM1.5 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Yayasan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Presiden KL City FC Tan Sri Annuar Muda serta Ahli Parlimen Shah Alam yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Abdul Samad. – Bernama
Add Comment