Antarabangsa Bola Sepak

Liverpool dan Man Utd bakal kembali ke Asia Tenggara ?


Oleh : JJ FIRDAUS

LIVERPOOL dijangka akan berhadapan Crystal Palace dan seteru utama, Manchester United dalam perlawanan persahabatan jelajah pra-musim yang akan diadakan di Asia Tenggara.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kini dalam peringkat perbincangan akhir untuk terbang ke Thailand dan Singapura pada Julai nanti sebelum memulakan kem latihan musim 2022-2023 sama ada di Perancis atau Austria.

The Reds dijadualkan bertemu Manchester United di Bangkok pada 12 Julai sebelum berhadapan Crystal Palace di Singapura tiga hari kemudiannya, menurut akhbar The Athletic.

Selepas itu, Liverpool akan kembali ke Eropah manakala Manchester United dan Crystal Palace dijadualkan bertemu dalam satu perlawanan persahabatan di Australia.

Kesemua kelab masih belum menandatangani kontrak tetapi ramai yang meramalkan perkara ini akan menjadi kenyataan dengan pengumuman rasmi akan diadakan pada Mac apabila kesemua perkara sudah dimuktamadkan.

Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris tidak dapat melakukan jelajah pra-musim untuk dua tahun kebelakang ini ekoran penularan pandemik Covid-19 dan kini berharap kelonggaran sekatan dilakukan bagi memastikan semuanya akan kembali seperti sedia kala.

Liverpool dan Manchester United kedua-duanya mempunyai pengikut yang besar di Asia dan pertembungan mereka ini pastinya akan menarik minat penyokong yang ramai manakala penglibatan Crystal Palace akan meningkatkan lagi profail kelab London itu di pentas dunia.

Kali terakhir Liverpool melakukan jelajah ke Asia adalah pada 2017 apabila mereka berhadapan Crystal Palace dan Leicester City dalam Trofi Liga Perdana Asia. Selepas itu mereka memilih Amerika Syarikat sebagai destinasi jelajah pra-musim pada 2018 dan 2019.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: