SEBANYAK 13 pasukan bakal berentap memburu kejuaraan kejohanan Hoki 5’s Kebangsaan yang akan berlangsung pada 2 hingga 6 Mac 2022 dan berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Kejohanan edisi pertama ini telah menetapkan had usia pemain yang layak untuk didaftarkan adalah 23 tahun ke bawah.
Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5’s dan Prestasi Tinggi, Hasnizam Hassan berkata, selepas tarikh pengesahan penyertaan berakhir, hanya pasukan Johor tidak menghantar borang pengesahan bagi menyertai kejohanan.
“Jawatankuasa telah meletakkan sasaran untuk menerima penyertaan daripada 14 pasukan negeri bagaimanapun selepas tamat tarikh tutup penyertaan, kami menerima penyertaan daripada 13 pasukan negeri dan ia sangat menggalakkan.
“Kami telah menetapkan bahawa kejohanan akan menggunakan format dua kumpulan dengan dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan ke pusingan separuh akhir dan seterusnya ke final.
“Setiap perlawanan akan berlangsung selama 20 minit iaitu pasukan akan bermain 10 minit untuk separuh masa pertama dan rehat dua minit kemudian 10 minit lagi untuk separuh masa kedua.
“Kami sangat berharap dengan penganjuran Kejohanan Hoki 5’s Kebangsaan yang berjalan serentak dengan Kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2022, setiap negeri dapat mengcungkil bakat-bakat baru untuk beraksi di kejohanan ini.
“Ia sekaligus akan menunjukkan bahawa pasukan-pasukan negeri tidak hanya bergantung kepada pemain-pemain yang telah mencipta nama atau yang sedia ada dan kami berharap kejohanan ini akan membantu pasukan-pasukan negeri untuk mengetengahkan pemain-pemain baru.
“Mungkin sebelum ini ada pemain-pemain yang sedikit keciciran dan kurang mendapat perhatian, jadi dengan penganjuran Kejohanan Hoki 5’s Kebangsaan ini ia akan menjadi platform untuk pemain-pemain tersebut menonjol dan mungkin akan mewakili Malaysia satu hari
nanti, ” tegasnya.
Add Comment