Antarabangsa

Stadium baharu di Senegal bakal dikenali nama Sadio Mane


Mane membantu negaranya menjuarai AFCON 2021. Foto: Getty Images

KEJAYAAN Sadio Mane bersama Senegal muncul juara Piala Negara-Negara Afrika akan dikenang selamanya dengan menamakan sebuah stadium ke atas namanya.

Penyerang Liverpool itu menjadi wira negara apabila menjaringkan penalti kemenangan dalam kejayaan ‘The Teranga Lions’ ke atas Mesir dalam final yang sengit.

Bukan hanya cemerlang ketika final, Mane juga beraksi konsisten sepanjang kejohanan di Cameroon itu dengan menjaringkan tiga gol dengan dua bantuan jaringan.

Menerusi kejayaan itu, Mane terus menjadi ikon kepada negara Afrika Barat itu dengan kejayaan pertama muncul juara AFCON yang menaikkan lagi statusnya sebagai penyerang tersohor.

Foto: AFP

Kini Datuk Bandar Sedhiou, tempat kelahiran pemain berusia 29 tahun itu, telah mengumumkan bahawa stadium baharu yang dijangka siap sepenuhnya di bandar itu tahun depan akan didedikasikan kepada bintang itu.

“Sadio Mane telah memberikan kebanggaan kepada Senegal, Wilayah Sedhiou dan seluruh kawasan Casamance. Saya telah membuat keputusan untuk menamakan stadium itu kepada beliau,” kata Abdoulaye Diop.

“Dengan berbuat demikian, saya berharap kami dapat menyampaikan rasa terima kasih daripada semua penduduk wilayah ini kepadanya. Ini kerana dia telah menjadikan bandar Bambali dan Sedhiou dikenali ramai.”

Kejayaan Senegal muncul juara AFCON buat pertama kali mencetuskan sambutan besar-besaran di sekitar ibu kota, Dakar dengan Mane dan rakan-rakan sepasukan diangkat sebagai wira negara.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: