Bola Sepak

FAM sedia jadi ‘orang tengah’ bantu Pan-gon


Mohd Saifuddin Abu Bakar

KETUA jurulatih baharu skuad Harimau Malaya Kim Pan-gon bebas untuk memilih mana-mana jurulatih kelab sebagai pembantunya.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya juga bersedia menjadi orang tengah antara Pan-gon dengan kelab berkenaan untuk memastikan proses perlantikan penolong ketua jurulatih skuad kebangsaan itu berjalan lancar.

“Bagi FAM kalau dia (Pan-gon) pilih begitu, kita kena bincang dengan kelab dan sudah tentu kalau jurulatih itu mempunyai kontrak, dia juga perlu berbincang dengan kelabnya sama ada boleh dilepaskan atau tidak.

“Sudah pasti kita akan bantu bercakap dengan kelab tersebut kalau betul-betul Pan-gon inginkan jurulatih itu,” jelasnya kepada Bernama.

Kim Pan-gon

Mohd Saifuddin berkata, FAM memberi kebebasan kepada bekas pengurus pasukan bola sepak kebangsaan Hong Kong dari Korea Selatan itu untuk memilih mana-mana individu yang dirasakan layak menjadi pembantunya, serta tidak meletakkan sebarang kriteria khusus bagi jawatan berkenaan.

Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan adalah Pan-gon mendapat sokongan sewajarnya untuk menjalankan tanggungjawab memulihkan prestasi pasukan negara yang merosot dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Tugasan pertama Pan-gon dan barisan kejurulatihan adalah memantau prestasi pemain pada saingan Liga Malaysia 2022 yang dijadualkan bermula hujung bulan ini, sebelum mengendalikan kem latihan pusat kebangsaan pada Mac.

Dia kemudian akan membinbing skuad negara untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini dalam misi menamatkan penantian lebih 40 tahun Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir kejohanan peringkat benua ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: