
Oleh: JJFIRDAUS
MOHAMED Salah dan Sadio Mane menikmati kejayaan mereka layak ke separuh akhir Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan bergambar mesra bersama-sama selepas perlawanan di stadium.
Mesir dan Senegal berjaya mara ke peringkat separuh akhir dengan kedua-dua Salah dan Mane menaikkan peranan penting buat negara mereka dalam kempen AFCON kali ini.
Salah menjaringkan satu gol dan membuat bantuan jaringan ketika Mesir menewaskan Maghribi 2-1 pada Ahad sebelum Mane juga merekodkan bantuan jaringan ketika Senegal membenam Equatorial Guinea 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.
Mereka akan mengambil laluan berlainan dalam separuh akhir dan duo Liverpool itu berkemungkinan bertemu sama ada di perlawanan akhir atau penentuan tempat ketiga yang dijadualkan pada 6 Februari.

Kedua-dua perlawanan suku akhir Ahad lalu berlangsung di Stadium Ahmadou Ahidjo yang memberi kesempatan buat Salah dan Mane untuk bertemu dan bergambar di terowong pemain yang kemudiannya dikongsikan di laman Instagram Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).
Gambar itu kemudiannya menjadi tular selepas diulang hantar oleh para penyokong Liverpool dan juga seluruh peminat bola sepak seluruh dunia yang menjadikan kedua-dua pemain muslim ini sebagai idola.
Kemaraan ke separuh akhir bermaksud Salah dan Mane sudah pasti terlepas aksi Liverpool di tempat sendiri dalam pusingan keempat Piala FA bertemu Cardiff yang berlangsung serentak dengan perlawanan akhir AFCON.
Senegal akan bertemu Burkina Faso pada 2 Februari manakala Mesir berhadapan tuan rumah, Cameroon hari berikutnya dalam aksi yang pastinya menarik.






Add Comment