Bola Sepak

Pra-musim Dubai: Mora tumpu objektif utama, “Pemain import baharu laju…”


Sidibe tidak mengambil masa lama menyesuaikan diri dengan pasukan.

Oleh: SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI

KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora mendedahkan bahawa aksi pra musim yang diadakan di Dubai bermula minggu ini bukan tertumpu kepada kemenangan sahaja.

Menurut pengendali kelahiran Mexico berusia 43 tahun itu, objektif utama adalah adalah prestasi pemain-pemain ketika di padang.

“Berdasarkan perlawanan pra musim pertama bertemu MSK Zilina (Slovakia), saya agak terkejut melihat pemain-pemain JDT mampu menyesuaikan diri dengan sistem yang diterapkan, dan mereka faham walaupun pemain baharu. Ternyata ia satu perlawanan yang bagus.

“Mereka mempamerkan kerja yang baik, permainan seimbang dengan tahap yang bagus.

“Kami perlu memahami sistem permainan dengan baik apabila bertemu dengan pasukan yang mempunyai tahap kualiti tinggi seperti di sini. Terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang memberi peluang pasukan berada di sini (mengharungi aksi pra musim).

“Keputusan jaringan tidak penting berbanding dengan prestasi di padang. Kami lebih pandang kepada prestasi semua pemain,” jelasnya kepada Cakap Sukan selepas aksi pertama di Stadium Al Hamriya Sports Club, Dubai.

Mora mengakui pemain-pemain mengikut sistem permainan yang diterapkan.

Dalam pada itu, Mora turut mengulas dua pemain import baharu JDT iaitu Moussa Sidibe yang telah menunjukkan karakter yang baik walaupun hanya sehari berlatih bersama.

“Moussa bergandingan dengan Sumareh dan dia seorang pemain yang laju. Banyak membantu Sumareh dan bagus di bahagian kiri. Dan saya sukakannya sebagai seorang pemain.

“Manakala Fernando Forestieri semua tahu dia dari liga yang baik dan tidak ada masalah buatnya untuk menyesuaikan diri dengan kelab ini kerana kita tahu pemain Argentina mempunyai kebolehsuaian yang cepat.

“Dia boleh mengetuai dengan cara yang bagus dan mampu menjadi pemain top yang berkualiti bila-bila masa sahaja, seperti sekarang.

Aksi pemain-pemain JDT ketika menentang wakil kelab dari Slovakia.

“Bagaimana pun, untuk pemain-pemain lain termasuk pemain lokal, mereka juga ‘best’ dan semuanya akan bermain secara penggiliran berdasarkan satu persatu perlawanan,” tambahnya.

Pada aksi pertama pra musim ini, JDT mengikat MSK Zilina dengan keputusan seri 2-2.

Sebanyak empat perlawanan pra musim dijadualkan berlangsung di Dubai iaitu bertemu MSK Zilina (Slovakia) (25 Jan), Riga FC (Latvia) pada 29 Jan diikuti kelab dari Rusia, Rodina Moscow pada 2 Februari dan Spartak Moscow pada 5 Februari.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: