Antarabangsa

AFCON2021: Tunisia kejutkan Nigeria, Burkina Faso kental penentuan penalti


Pemain Nigeria dilayangkan kad merah.

PASUKAN Tunisia melakukan kejutan pada peringkat 16 terbaik Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2021 apabila mengejutkan pasukan pilihan Nigeria 1-0 sekaligus layak ke suku akhir.

Nigeria yang muncul pasukan tunggal memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan turun sebagai pilihan dengan Tunisia yang bergelut tanpa tujuh pemain yang diasingkan akibat Covid-19.

Bagaimanapun jaringan pada awal babak kedua oleh kapten, Youssef Msakni sudah cukup buat Tunisia layak dan mengecewakan juara edisi 2013 yang sekali lagi terpaksa pulang awal meskipun menguasai permainan.

Dalam satu lagi perlawanan, Burkina Faso berjaya menahan tekanan untuk menang dalam penentuan penalti 7-6 selepas terikat 1-1 dalam masa penuh menentang Gabon.

Burkina Faso terlepas peluang untuk mendahului awal selepas sepakan penalti Bertrand Traore terkena palang gol. Namun begitu, penyerang Aston Villa itu menebus kehampaan dengan jaringan pendahuluan pada babak pertama.

Ketika aksi sudah hampir tamat, tuah memihak kepada Gabon selepas pemain Burkina Faso tertanduk ke gawang sendiri sekaligus membawa perlawanan ke masa tambahan hingga ke penentuan penalti.

Malang buat Gabon apabila gagal menyempurnakan tiga sepakan penalti sekaligus tersingkir dari kejohanan manakala penyokong Burkina Faso bergembira dengan kemenangan ini.

Hasil dari keputusan ini, Burkina Faso dan Tunisia akan berhadapan pada peringkat suku akhir pada 29 Januari nanti. Dua lagi aksi akan berlangsung hari ini dengan Cameroon menentang Comoros manakala Guinea bertemu Gambia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: