Hoki

India belasah skuad projek khas wanita


SKUAD Projek Khas Wanita Kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Piala Asia Wanita 2022  dengan langkah kiri apabila tewas 0-9 kepada India pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sultan Qaboos, Muscat, Oman.

Malaysia yang membariskan 12 pemain muda dan tidak mempunyai sebarang pengalaman bermain di pentas antarabangsa pada Kejohanan Piala Asia Wanita 2022 terpaksa akur dengan kehebatan pasukan di ranking pertama Asia itu.

Pengendali Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, dia sememangnya elah menjangkakan India yang menduduki tempat keempat di Sukan Olimpik Tokyo 2020, akan membuktikan kepada semua pasukan di Asia bahawa meraka adalah yang terbaik dan kejohanan kali ini India membariskan 16 pemain yang beraksi di Sukan Olimpik Tokyo.

“Dalam perlawanan hari ini India menunjukkan bahawa mereka berada di tahap yang tinggi terutama dalam sudut teknikal, skil bermain hoki serta tahap kecergasan.

“Kekalahan ini pastinya menjadi satu pengalaman yang pahit untuk pemain terutamanya mereka yang tidak mempunyai sebarang caps antarabangsa dan kami barisan kejurulatihan memainkan peranan untuk menaikkan semula motivasi mereka yang sememangnya kecewa.

“Aksi hari ini juga menunjukkan bahawa banyak penambahbaikan pasukan perlu kami lakukan terutama dari sudut kecergasan pemain dan teknikal skil hoki untuk diserapkan dalam taktikal perlawanan.

“Perlawanan seterusnya bertemu Singapura kami akan menggunakan masa yang dimiliki esok untuk menjalani sesi latihan bagi memperbaiki kelemahan yang ada dan kami memandang serius perlawanan seterusnya.

“Kami akan melihat satu perlawanan demi satu perlawanan dan barisan kejurulatihan akan membuat analisi video untuk meneliti sudut yang perlu diperbaiki. Saya juga mengingatkan pemain bahawa kami masih belum terkeluar daripada kejohanan dan misi di sini masih belum berakhir,” jelasnya.

Malaysia akan turun untuk aksi kedua bagi Kumpulan A bertemu Singapura pada Ahad (23 Januari) jam 9.00 malam waktu Malaysia.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: