Bola Sepak

Barisan kejurulatihan Harimau Malaya ikut jejak Cheng Hoe


Balachandran (kiri) dan dua lagi jurulatih turut meletak jawatan.

SELEPAS 19 hari peletakan jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, tiga lagi jurulatih skuad Piala AFF 2020 mengambil langkah yang sama.

Pembantu jurulatih S.Balachandran, Azmin Azram Abdul Aziz (jurulatih penjaga gol) dan Martin Stano (jurulatih kecergasan) dilaporkan bersama seorang lagi pembantu pasukan Andy Azzuddin telah bertemu dengan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin pada Rabu.

Difahamkan perbincangan bersama Hamidin lebih berkisar kepada status posisi masing-masing selepas Cheng Hoe meletak jawatan, dan mereka itu merupakan ‘pakej pasukan’ dalam skuad Harimau Malaya sebelum ini.

Selepas pertemuan dengan Hamidin, mereka mengambil keputusan untuk meletak jawatan selepas diberitahu mereka tidak akan digantikan dalam mana-mana pasukan peringkat umur kebangsaan yang lain, dan semua posisi tersebut telah diisi.

Jurulatih Balachandran mengambil keputusan meninggalkan Harimau Malaya.

Ia telah disahkan oleh Balachandran yang menjadi pembantu Cheng Hoe sejak 2018 kepada Tony Mariadass menerusi ruangan di blognya (level-field.blogspot.com) pada Khamis.

“Kami mengadakan pertemuan yang membuahkan hasil dengan Presiden dan memahami kesukaran masing-masing dan membuat keputusan bersama untuk berpisah.

Azmin Azram (kiri) turut meletak jawatan sebagai jurulatih penjaga gol Harimau Malaya

“Kami telah diberitahu bahawa kami akan diberi pampasan tetapi akan dimaklumkan jumlah berapa bulan tidak lama lagi.

“Saya berterima kasih kepada FAM kerana memberi peluang untuk bekerjasama dengan mereka dan berharap jika ada peluang pada masa hadapan untuk bekerjasama semula, saya akan dipertimbangkan.

Balachandran bersama Cheng Hoe sejak 2018 menguruskan skuad Harimau Malaya.

“Saya meninggalkan (posisi) ini dengan penuh pengetahuan ketika bersama pasukan kebangsaan. Walaupun dengan berat hati, itu semua adalah sebahagian daripada tugas,” kata Balachandran yang pernah berkhidmat dengan B-16, B-15, B-14 Kebangsaan sebagai ketua jurulatih.

Tambah Balachandran: “Selain itu, ini adalah satu tindakan logik dan adil untuk kami pergi bagi menyokong jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe yang telah meletak jawatan kerana kami adalah ‘pasukan’.”


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: