Bola Sepak

MFL nafi MUFC anak emas


Oleh : SUBKHI SUDARJI

“KALAU Melaka United FC  anak emas MFL atau FAM, saya tak fikir mereka akan berdepan pemotongan mata dalam dua musim terakhir,” tegas Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia MFL, Stuart Ramalingam.

Itulah reaksi Stuart berhubung dakwaan segelintir peminat bahawa Melaka United menjadi ‘anak emas’ kepada badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tegasnya, beberapa hukuman terutama pemotongan mata yang dikenakan ke atas skuad Hang Tuah sebelum ini membuktikan bahawa semua pasukan menerima layanan sama rata.

“Kalau Melaka anak emas MFL atau FAM, saya tak fikir mereka akan berdepan pemotongan mata dalam dua musim terakhir,” kata Stuart selepas Majlis Taklimat Kalendar Liga M 2022 yang diadakan secara maya, hari ini.

Dakwaan bahawa Melaka United anak emas MFL dan FAM dibuat segelintir peminat dengan mereka mempersoalkan kenapa skuad Hang Tuah masih diberikan lesen walaupun sering berdepan masalah tunggakan gaji dalam beberapa musim kebelakangan ini.

Stuart bagaimanapun menjelaskan pemberian lesen kebangsaan kepada pasukan adalah berdasarkan dokumen kewangan yang diserahkan pada 30 Jun lalu.

Tambahnya lagi, MFL juga menuntut setiap pasukan menyerahkan surat akuan berkanun (SD) yang membuktikan bahawa mereka bebas dari sebarang pembayaran atau kelewatan membayar gaji dan bayaran lain termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 15 Disember lalu.

“Jadi dekat situ dalam SD kita akan tahu pasukan mana berdepan masalah gaji, selepas itu MFL ambil tindakan lanjut yang mana jika tidak bayar pada Januari, larangan perpindahan automatik dikenakan, jika tak bayar lagi akan ditolak mata.

“Jadi lesen sah sudah diberi mengikut peraturan semasa dan jawatankuasa pelesenan mengikut segala peraturan. Mengenai kekurangan atau tidak bayar gaji selepas 30 Jun, ia dijadikan satu perkara yang sudah saya bincang bersama PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia).

“Satu peraturan baharu akan dirasmikan di dalam pelesenan kelab 2022 untuk lesen 2023 di mana kita anjakkan tarikh 30 Jun itu kepada 30 September. Mungkin ada yang tertanya kenapa 30 September, itu bukan hujung musim.

“Ia kerana pada 30 Oktober, MFL perlu menyerahkan dokumen kepada AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk lesen tahunan kebangsaan, jadi kami perlu lengkapkan supaya kita boleh serahkan kepada AFC.

“Ini permintaan daripada PFAM dan MFL dengan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah dan juga ahli jawatankuasa pelesenan untuk menambah lagi tempoh masa pemantauan bayaran gaji ini,” katanya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: