Bola Sepak

Punca Nurul Azurin tak dapat ‘sokongan’ FAM ke India


Nurul Azurin menyarung jersi bernombor 23 bersama Misaka United FC. Foto: TEAM MALAYSIA

Oleh: SURYATI MOHD NOR

PENJAGA gol wanita negara, Nurul Azurin Mazlan tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri beraksi bersama Liga Wanita Karnataka, Misaka United FC, India.

Pemain berusia 21 tahun yang berstatus pemain amatur ini tiba di India Sabtu lalu menyertai Misaka United selama dua bulan bagi mencari pengalaman di pentas antarabangsa.

Namun pemergiannya itu sedikit menjadi kontroversi apabila dilaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak memberi sokongan kepada pemain kebangsaan ini selepas memuatnaik ucapan penghargaan kepada beberapa nama yang membantunya dalam melancarkan pemergiannya ke India ini.

Perkongsiannya itu di laman sosial menjadi perhatian selepas nama penting, badan induk bola sepak negara, FAM tidak berada dalam senarai yang dikongsikan itu.

Cakap Sukan cuba mencari jawapan sebenar apa yang berlaku di sebalik kronologi pemergian Nurul Azurin ini ke India.

Menurut sumber, FAM sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana pemain, atau pegawai yang mahu mencari pengalaman sendiri di luar negara.

“FAM sendiri berbangga dengan Nurul Azurin yang mendapat peluang bermain di India. Berhubung dengan ceritanya itu, FAM bukan sengaja tidak mahu ‘endorse’ tetapi biarlah melalui cara yang betul bukannya ‘last minute’

“Pada 24 November dia menghubungi FAM untuk minta surat sokongan ke India. Kami memberi nasihat bagaimana untuk membuat surat dan draf kepada Setiausaha Agung FAM (Mohd Saifuddin Abu Bakar).

“Sehari selepas itu Setiausaha Agung tidak berani nak ‘sign’ kerana surat itu tidak lengkap dengan maklumat. Jika apa-apa berlaku kita tidak tahu. Tambahan pula sebagai FA, FAM perlu berurusan dengan India FA dan dan mengikut prosedur Indian Club perlu berurusan dengan FAM.

“Kiranya dia minta surat saat akhir, tapi kita ‘proceed’ dan cuba membantunya. Tetapi prosedur kenalah betul. Malah Nurul Azurin tidak datang ke FAM untuk berbincang, sebaliknya ‘push’ FAM untuk dapatkan kelulusan pada hari yang sama (24/11).

“Secara rasionalnya, FAM perlu mengambil kira banyak perkara, selain risiko kecederaan, keadaan pandemik juga turut diberi perhatian. Banyak perkara kena diperhalusi kalau jadi apa-apa kat sana. Jadi dia kena sediakan surat untuk kami bertanggungjawab jika ada kecemasan di sana, itu sahaja.

“Selepas itu dia terus pergi jumpa PFAM (Persatuan Pemain-Pemain Profesional Bolasepak Malaysia), sebaliknya dengan FAM dia hanya berhubung melalui telefon.

Nurul Azurin (kiri, berdiri) bersama pasukan Misaka United dan mempamerkan aksi cemerlang selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas Bengaluru Braves. Foto: ABIDU RAHMAN

“Pun begitu, kami tidak melepaskan begitu sahaja kerana sekurang-kuranganya pihak legal FAM membantunya apa yang perlu dari segi urusan undang-undang,” jelas sumber FAM kepada Cakap Sukan.

Dalam pada itu, FAM memberitahu pihaknya juga berbangga dengan Nurul Azurin mencari pengalaman sendiri di luar negara.

Malah ini juga merupakan peluang kedua Nurul Azurin bermain di luar negara selepas tahun lalu dia terlepas peluang menimba ilmu (September 2020) kerana menghidap Influenza B.

Awal tahun lalu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) bagi mewujudkan kerjasama teknikal, pembangunan belia dan kejurulatihan.

Kerjasama membabitkan kepentingan serta pembangunan termasuk bola sepak wanita selain pentadbiran, pengkomersilan dan penajaan pendapatan itu antara langkah postif di bawah badan induk bola sepak negara.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading