Oleh : SUBKHI SUDARJI
SINGAPURA mempamerkan semangat melawan dan tidak berputus asa apabila bangkit pada separuh masa kedua untuk mengikat kedudukan 1-1 menentang Indonesia pada aksi Separuh Akhir Pertama Piala AFF 2020 di Stadium Nasional, sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung rancak tad?, tuan rumah dilihat sedikit tertekan pada awal permainan apabila terpaksa menahan serangan pantas dan bertali arus dari Indonesia.
Tuan rumah akhirnya mula mendapat rentak seawal minit ke 14 apabila penyerangnya, Ikhsan Fandi memiliki peluang menjaringkan gol namun tolakannya sedikit tersasar dari gawang yang dikawal rapi, Nadeo Argawanita.
Safuwan Baharudin hampir menggamatkan sorakan penyokong tuan rumah menerusi tandukannya yang berpunca dari sepakan percuma pada minit ke – 22 namun Nadeo bertindak cemerlang melayangkan badan untuk menepis percubaan tersebut.
Gol pertama yang dicari akhirnya muncul dan ia menjadi milik Indonesia pada minit ke-28 menerusi Witan Sulaeman yang menyempurnakan hantaran lintang ketua pasukan Asnawi Mangkulam yang berpunca dari serangan balas dari sebelah kiri pertahanan Singapura.
Sang Garuda seharusnya mampu menggandakan kelebihan jaringan sebelum babak pertama berakhir namun Witan mengambil keputusan melakukan rembatan yang tersasar ditepi gawang Singapura pada minit ke-36.
Memasuki babak kedua, Singapura dan Indonesia melakukan pertukaran bagi menambahkan aksi bertenaga pasukan masing-masing dengan Singapura dilihat lebih mendominasi perlawanan.
Singapura hampir menjaringkan gol pada minit ke-48 menerusi Ikhsan yang berjaya merampas bola daripada Pratama Arhan namun sepakannya sekali lagi tidak menemui sasaran.
Kesilapan pertahanan Indonesia pada minit ke-63 yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hampir dihukum Faris Ramli yang berjaya memperdaya seorang pemain namun sepakannya jauh melewati palang.
Usaha berterusan Singapura memburu gol penyamaan akhirnya menjelma pada minit ke-70 menerusi Ikhsan apabila berjaya melepasi perangkap offside untuk menewaskan Nadeo.
Selang dua minit kemudian, tandukan Safuwan yang berpunca dari sepakan penjuru hampir meletakkan pasukan didepan namun tiang gol menjadi penghalang buat Singapura dan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.





Add Comment