Badminton

“Dia bukan datang negara jaguh, tapi boleh menang kejohanan dunia” – Chong Wei


Kean Yew menjuarai Kejohanan Badminton Dunia 2021.

SKUAD badminton negara harus menjadikan pencapaian luar biasa pemain perseorangan lelaki Singapura Loh Kean Yew yang menjuarai Badminton Dunia 2021 sebagai pembakar semangat untuk terus melakar kejayaan pada masa depan.

Bekas pemain No.1 Dunia, Datuk Lee Chong Wei berpendapat pemain negara tidak perlu berasa malu, sebaliknya mencontohi semangat dimiliki pemain berusia 22 tahun itu.

“Kemenangan Kean Yew adalah contoh terbaik untuk pemain kita… dia bukan datang negara jaguh tapi boleh menang kejohanan dunia… apa-apa pun boleh berlaku,” katanya kepada Bernama.

Kean Yew, pemain berusia 22 tahun muncul pemain pertama Singapura merangkul gelaran juara dunia manakala Malaysia masih belum mencatat rekod memenangi kejohanan dunia ini.

Chong Wei pernah muncul pemain terbaik Malaysia di kejohanan itu apabila meraih gelaran naib juara pada tiga edisi iaitu 2011,2013 dan 2015.

Dalam pada itu, Chong Wei berkata pemain-pemain negara, terutamanya Lee Zii Jia berpeluang besar untuk merangkul kejuaraan di Sepanyol itu berikutan ketiadaan beberapa bintang dari Indonesia, Jepun dan China.

Zii Jia mengalami kecederaan lepuh serius di bahagian tapak kakinya ketika aksi suku akhir.

Namun, juara All England 2021 itu tidak dapat meneruskan cabaran apabila terpaksa menarik diri dalam aksi suku akhir berikutan kecederaan.

“Semoga Zii Jia kembali fokus, dapat keyakinan balik dan terus bersemangat,” tambahnya.

Untuk rekod, Kean Yew merupakan pemain kelahiran Pulau Pinang dan pernah beraksi dalam beberapa kejohanan tempatan sebelum berpindah ke Singapura pada usia 13 tahun apabila mendapat tawaran biasiswa daripada Persatuan Badminton Singapura.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: