
IMPIAN DBKL HT merangkul gelaran berganda dalam saingan Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia (MIHL) tidak kesampaian selepas tewas 2-4 ditangan ATM–The Gladiators pada perlawanan akhir di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
Terdahulu skuad wanita berjaya meraih gelaran juara selepas menewaskan MOHC TH, 3-1 namun nasib yang sama tidak mengiringi pasukan lelaki apabila terpaksa berpuas. hati dengan gelaran naib juara.
Final yang menemukan dua pasukan teratas liga itu nyata sengit dengan kedua-dua pasukan menampilkan aksi berbalas serangan selain jumlah circle penetration dan pukulan sudut yang seimbang.
Gol Sjn Mohd Shafiq Yaacob seawal minit pertama permainan ternyata mengejutkan DBKL yang sebelum itu bergelut mengekang serangan pantas ATM-The Gladiators.
DBKL HT cuba bangkit untuk mengimbangi kedudukan tetapi dilihat buntu terutamanya selepas kegagalan menjaringkan penalti strok dan sekali lagi tewas dengan corak serangan pantas ATM-The Gladiators yang berjaya melebarkan jurang menerusi Lk I Tls Mohd Norhafizie Jamil Azomi pada minit ke-21.
Saingan mula tampak menarik apabila DBKL HT berjaya merapatkan jurang menerusi Rafizul Ezry Mustafa yang menjaringkan hol pada minit ke-22 menerusi gerakan cantik dalam kawasan D.
Namun dua gol dalam tempoh empat minit yang dijaringkan oleh Pw Ii Razali Mohd Hazemi pada minit ke-34 dan Pwii Norfadzeli Nasir pada minit ke-38 meranapkan harapan DBKL HT.
Beberapa saat sebelum masa sebenar perlawanan berakhir, DBKL HT membolosi gawang ATM-The Gladiators sekali lagi menerusi gol Muhammad Aslam Mohamad Hanafiah untuk menjadikan kedudukan muktamad 4-2.
Pada perlawanan sebelum itu, pasukan dari Terengganu, THT memenangi tempat ketiga selepas mengatasi Silversticks dengan jaringan besar 7-0.
SENARAI PEMENANG (LELAKI)
Juara: ATM – The Gladiators
Naib Juara: DBKL HT
Ketiga: THT
Anugerah Fairplay: QNet Phoenix
Penjaring Terbanyak: Sjn Mohd Shafiq Yaacob & Pw Ii Razali Mohd Hazemi (16 gol, ATM-The Gladiators)
Pemain Terbaik Final: Lk Tlr Mohd Khairul Afendy Kamaruzaman (Penjaga gol, ATM-The Gladiators)
Add Comment