Bola Sepak

Piala AFF 2020 : Harimau Malaya gagal


Oleh : SUBKHI SUDARJI

HARIMAU Malaya gagal menunaikan janji untuk beraksi dipentas final Piala AFF 2020 apabila tersingkir lebih awal diperingkat Kumpulan B selepas tewas 1-4 di tangan Indonesia pada aksi di Stadium Nasional Singapura, sebentar tadi.

Kekalahan ini menyebabkan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe hanya mampu menamatkan aksi peringkat kumpulan ditangga ketiga mengumpul enam mata hasil dua kemenangan dan dua kekalahan.

Turun dengan reputasi finalis 2018, skuad kebangsaan diasak sepanjang 10 minit diawal perlawanan namun Dion Cools dan Junior Eldstal bertahan cemerlang mengagalkan hasrat Sang Garuda memburu gol.

Gol pertama perlawanan muncul pada minit ke-13 menjadi milik Malaysia menerusi rembatan menarik R Kogileswaran dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gawang Indonesia, Nadeo Arga Winata.

Harimau Malaya berpeluang menambah jaringan pada minit ke 34 menerusi Syafiq Ahmad namun tolakan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sedikit tersasar ketika Arga Winata sudah pun tertewas.

Selang dua minit kemudian, Indonesia berjaya menyamakan kedudukan hasil serangan balas yang disempurnakan Irfan Jaya untuk menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.

Berbaki dua minit separuh masa pertama berakhir, Irfan Jaya sekali lagi berjaya menewaskan Khairul Fahmi untuk meletakkan pasukan dihadapan sebelum kedua-dua pasukan beredar masuk ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, belum sempat Malaysia mengatur gerakan, Indonesia sekali lagi berada dihadapan menerusi jaringan Pratama Arhan pada minit ke -50 untuk kedudukan 3-1.

Bagi memastikan Harimau Malaya lebih bertenaga, Cheng Hoe telah melakukan beberapa pertukaran termasuklah meletakkan Dion Cools bermain di posisi atas dan memasukkan Guilherme De Paula serta Akhyar Rashid pada minit ke-60, namun tetap tidak mampu mengubah nasib pasukan kebangsaan.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading