
Oleh : SUBKHI SUDARJI
PEMAIN sayap Harimau Malaya, Faisal Halim enggan dilabelkan kehadirannya dalam pasukan sebagai penumpang dengan hanya sekadar berada dalam bilik sepanjang kejohanan Piala AFF 2020 tanpa memberikan sumbangan buat pasukan.
Lantas selepas disahkan bebas dari tempoh pengasingan selama 10 hari dan mula menjalani latihan bersama pasukan, Faisal kini bersedia sepenuhnya dari segi fizikal mahu pun mental untuk berhadapan dengan aksi getir menentang Indonesia, Ahad ini.
Jelasnya, sudah tentu dia datang bukan hanya untuk untuk duduk dalam bilik selama 10 hingga 12 hari tetapi hadir untuk mengekalkan prestasi yang terbaik dalam tahun ini.
“Tapi apa yang boleh saya buat ini semua adalah takdir dan terima dengan hati yang terbuka, apa yang perlu saya lakukan sekarang bangun dan buat sesuatu yang luar jangkaan orang.
“Tiga perlawanan yang lepas saya sangat kecewa dan sedih tidak sangka benda ini berlaku disaat yang saya inginkan bermain dalam kejohanan pertama buat diri saya.
“Memang sebelum datang Singapura saya katakan pada diri ini adalah peluang terbaik buat diri saya membuktikan sesuatu dan saya mampu bermain diperingkat yang lebih tinggi.
“Walaupun dugaan yang datang saya terima dugaan dengan hati yang terbuka, secara jujurnya saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal menentang Indonesia, terpulanglah kepada taktikal jurulatih untuk menurunkan saya sebagai pemain gantian mahupun kesebelasan utama,” katanya pada sidang media secara maya, sebentar tadi.
Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey terlepas tiga perlawanan terdahulu selepas dirinya dan penjaga gawang, Khairulazhan Khalid disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan sebaik tiba di Lapangan Terbang Changi, 3 Disember lalu.
Ditanya berkemungkinan ini aksi terakhirnya dan juga Harimau Malaya pada kejohanan kali ini, Mickey enggan berfikiran sedemikian malah percaya rakan sepasukan akan turut dengan semangat tinggi untuk menang.
“Saya tak nak anggap ini adalah perlawanan yang terakhir buat saya dan juga rakan-rakan, saya dan terlepas tiga perlawanan sebelum ini, sia-sia saya datang hampir sebulan, tinggalkan isteri, anak, keluarga hanya bermain untuk satu perlawanan dan pulang.
“Itu adalah tidak berbaloi bagi saya dan rakan-rakan, apa yang boleh saya katakan perlawanan menentang Indonesia ini satu perlawanan yang amat-amat penting untuk pemain dan rakyat Malaysia.
“Kita perlu menang walau apa cara sekali pun untuk layakkan diri ke separuh akhir,” tegasnya.





Add Comment