
Oleh : SUBKHI SUDARJI
GURAUAN Alexandre Polking yang disuarkan sebelum perlawanan kepada Teerasil Dangda mengenai faktor usia nyata memberikan impak sebaliknya apabila penyerang berpengalaman Thailand itu meledak dua gol membantu kemenangan mengatasi Myanmar, 4-0.
Tegas pengendali kelahiran Brazil itu, dia secara berseloroh memaklumkan penyerangnya itu tidaklah terlalu muda tetapi masih memiliki kemampuan untuk memberikan impak buat pasukan.
“Dia (Teerasil) membawa segala-galanya yang diperlukan oleh penyerang dari segi teknik dan sudah tentu terutamanya penyudah.
“Saya bergurau dengannya bahawa dia tidak begitu muda lagi tetapi anda masih boleh melihat kualiti menakjubkan yang dia ada.” ujarnya.
Pada perlawanan tersebut, dua gol yang dijaringkan Teerasil pada minit ke -23 dan 53 serta dua gol dijaringkan Thanawat Suengchitthawon (m-78) dan Supachok Sarachart pada masa kecederaan separuh masa kedua cukup memuktamadkan kemenangan pasukan ke atas lawan.
Selepas berakhirnya dua perlawanan, Thailand kini menghuni tangga teratas Kumpulan A hasil kemenangan ke atas Timor Leste (2-0) dan Myanmar (4-0) manakala Singapura dikedudukan kedua juga mengumpul enam mata dan hanya dibezakan jaringan gol manakala Filipina dikedudukan ketiga mengumpul tiga mata.
Skuad Gajah Perang ini akan turun beraksi pada perlawanana ketiga menentang Filipina malam esok di Stadium Nasional Singapura sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan menentang tuan rumah selang empat hari kemudian.











Add Comment