
LIGA Malaysia secara rasminya berakhir minggu lalu yang menyaksikan final Piala Malaysia di antara Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) beradu di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Seperti yang diketahui juara Piala Malaysia musim ini dirangkul oleh KL City FC dengan kemenangan 2-0 ke atas JDT.
Namun biar pun tewas di pentas akhir Piala Malaysia, JDT selaku juara bertahan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut tahun ini terus mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan apabila mencatat angka tontonan melebihi 39 juta menerusi platform YouTube Unifi.
Menurut perkongsian Facebook Johor Southern Tigers, jumlah ini adalah angka kumulatif melibatkan 33 perlawanan keseluruhannya, termasuk 22 perlawanan Liga Super dan 11 perlawanan Piala Malaysia.
Jumlah tontonan ini tidak termasuk angka tontonan menerusi saluran Unifi TV dan juga siaran langsung di RTM.
Hampir 23 juta tontonan dicatatkan dari 22 perlawanan liga menjadikan purata lebih 1 juta tontonan setiap perlawanan manakala 16.5 juta tontonan dicatatkan dalam 11 aksi Piala Malaysia dengan purata 1.5 juta setiap perlawanan.
Untuk rekod, perlawanan bertemu Terengganu FC dalam aksi separuh akhir pertama TM Piala Malaysia mencatatkan angka tontonan tertinggi iaitu 2.9 juta.
Add Comment