Bola Sepak

Piala AFF 2020: Vietnam mudah benam Laos


Pasukan Vietnam mengutip tiga mata penuh ketika bertemu Laos. Foto: AP

Oleh: JJFIRDAUS

VIETNAM menepati ramalan awal sebagai pasukan pilihan Kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 apabila mudah membenam cabaran Laos 2-0 dalam pertemuan Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura, Isnin malam.

Turun sebagai pasukan pilihan dan dibarisi pemain-pemain utama, anak buak Park Hang Seo dilihat tidak berdepan masalah untuk mencipta kemenangan pertama kempen kali ini.

Vietnam menguasai sepenuhnya permainan pada separuh masa pertama dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Nguyen Cong Phurong pada minit ke-26 yang mudah menolak masuk selepas permainan berpasukan yang menarik.

Skuad Naga Emas terus menyerang kubu Laos tetapi ketumpulan barisan serangan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pertahanan Laos memastikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Tiada banyak perubahan berlaku pada separuh masa kedua dengan penguasaan masih menjadi milik Vietnam dan akhirnya mereka berjaya menjaringkan gol kedua pada minit ke-58 seleps Phan Van Duc menanduk masuk selepas menerima hantaran lintang.

Asakan demi asakan yang dilakukan Vietnam memberikan mereka sepakan penalti tetapi sepakan Vu Van Thanh ditepis penjaga gol Laos yang beraksi cemerlang memastikan Vietnam tidak berpesta jaringan.

Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan dan Vietnam kini di tangga kedua Kumpulan B di belakang Malaysia. Vietnam akan berehat pada perlawanan akan datang dan bakal bertemu Harimau Malaya pada 12 Disember nanti.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading