
Oleh : SUBKHI SUDARJI
KISAH dongeng yang disempurnakan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) apabila menewaskan juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah pun memasuki hari kelima yang diraikan semua ‘penyokong Kuala Lumpur’.
Lihatlah disemua platform media sosial, semuanya menghamburkan pujian dan sanjungan buat pemain skuad Warga Kota yang sekurang-kurangnya dapat “menutup mula” seketika JDT yang sebelum perlawanan dianggap pasukan pilihan. Memang betul JDT adalah pasukan pilihan tetapi di atas padang dalam bola segala-galanya boleh berlaku.
Baiklah penulis bukannya ingin berbicara mengenai apa yang berlaku pada aksi 90 minit Selasa lalu tetapi mungkin boleh dianggap “mewakili” pemain-pemain KL City FC dan pengurusan menuntut janji yang dilontarkan sebelum saingan akhir bermula.
BONUS atau ganjaran, itulah yang mungkin dinanti-nantikan pemain ketika ini selepas mereka difahamkan telah dijanjikan dengan habuan dari individu-individu tertentu seandainya berjaya merangkul gelaran.
Cuti umum Jumaat lalu sempena kemenangan Piala Malaysia 2021 buat warga Wilayah Persekutuan telah dilaksanakan walaupun setahu penulis habuan ini tidak dijanjikan sebelum perlawanan tetapi Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim membuat keputusan berkenaan susulan kejayaan KL City FC.
Bagaimana pula dengan janji-jani yang ditaburkan sebelum perlawanan berakhir, adakah mereka yang menjanjikan tawaran ini sebenarnya juga tidak percaya KL City FC mampu bergelar juara selepas kali terakhir memenanginya pada 1989 ?
Jangan pula hanya gah bergambar dan menjulang Piala Malaysia sehingga lupa dengan habuan yang dijanjikan dan jangan pula ia memberikan kesan kepada pasukan pada musim akan datang.
Penyokong telah menikmati ganjaran, bagaimana pula dengan pemain dan pengurusan ?





Add Comment