Hoki

JWC: Aksi terakhir untuk Malaysia bangkit


LUPAKAN kekalahan kepada Belanda serta Perancis dan bangkit berikan persembahan terbaik untuk aksi terakhir Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 di Bhubaneswar, India.

Itulah yang harus dilakukan oleh skuad hoki projek khas lelaki kebangsaan menentang Sepanyol pada penentuan tempat ketujuh dan kelapan di Stadium Kalinga esok.

Aksi terakhir ini memerlukan semua pemain bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal kerana Sepanyol juga merupakan satu lagi lawan yang sukar.

Para pemain tidak perlu terus diselubungi kekecewaan kerana keputusan itu boleh terjadi kepada mana-mana pasukan yang bertemu Belanda.

Apa yang penting adalah barisan pemain menunjukkan kebangkitan dan memberikan fokus terbaik untuk menamatkan saingan di tempat ketujuh yang tetap dilihat sebagai satu pencapaian memberangsangkan.

Legenda hoki Malaysia, Datuk Mirnawan Nawawi berpendapat, para pemain perlu bersatu sebagai satu pasukan dan percaya antara satu sama lain untuk aksi terakhir ini.

“Jangan cari kesalahan sesiapa. Jika semua pemain dapat kurangkan kesilapan individu, pasukan akan mempunyai lebih peluang.

“Inilah waktunya untuk mereka bersatu dan tunjukkan karakter. Mereka perlu percaya dengan diri sendiri, rakan sepasukan dan barisan kejurulatihan.

Skuad negara bakal berdepan dengan Sepanyol pada aksi terakhir kejohanan. Foto:

“Mantapkan aspek pertahanan kerana ia boleh memenangi perlawanan. Peluang dan jaringan akan datang dengan sendirinya,” kata Mirnawan yang turut menggalas tugas selaku pengurus skuad senior kebangsaan.

Justeru, Malaysia perlu memberikan fokus terbaik kerana Sepanyol juga bukan calang-calang pasukan apabila nasib tidak menyebelahi mereka sepanjang kejohanan.

Sepanyol gagal ke separuh akhir selepas tewas penentuan shoot-out kepada Jerman sebelum kalah menerusi situasi sama, kali ini di tangan Belgium pada klasifikasi lima hingga lapan semalam.

Jika berjaya menumpaskan Sepanyol dan meraih tempat ketujuh, ia pastinya dapat melupakan episod duka skuad negara yang tewas kepada Perancis (suku akhir) dan Belanda (klasifikasi lima-lapan).

Sebagai rekod, Malaysia pernah meraih tempat keempat sebanyak tiga kali sewaktu edisi 1979, 1982 dan 2013 selain berada di kedudukan keenam pada 1989.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: