Hoki

Perancis sekat hajat Malaysia ke separuh akhir


HASRAT Malaysia untuk melangkah ke separuh akhir Piala Dunia Hoki Remaja (JWC) 2021 tidak kesampaian apabila tewas 0-4 kepada Perancis pada aksi suku akhir di Stadium Kalinga, India sebentar tadi.

Legenda hoki tanah air, Datuk Mirnawan Nawawi berpendapat antara faktor utama kekalahan skuad projek khas lelaki kebangsaan disebabkan kesilapan memberikan terlalu banyak pukulan sudut penalti kepada Perancis.

Ia terbukti apabila anak-anak buah Wallace Tan menghadiahkan 11 pukulan sudut penalti kepada Perancis berbanding hanya lima yang diraih skuad negara sepanjang tempoh 60 minit permainan.

Situasi itu sememangnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Perancis yang membuktikan aspek pukulan sudut penalti sebagai senjata utama mereka pada saingan JWC ini.

Bagaimanapun, penjaga gol, Che Shahrul Azmi Che Saupi layak diberikan pujian kerana memastikan gawang Malaysia tidak dibocori lebih banyak kepada Perancis dalam aksi itu.

Menariknya, kapten Perancis yang kini muncul penjaring kedua terbanyak kejohanan, Timothee Clement berjaya meledak hatrik dengan tiga gol pukulan sudut penalti bermula minit ke-14, 24 dan 60.

Satu lagi gol daripada skuad naib juara JWC 2013 itu juga diperoleh menerusi pukulan sudut penalti melalui penyudah menarik Mathis Clement pada minit ke-31.

Sebenarnya, jentera serangan Malaysia diketuai Akhimullah Anuar Esook dilihat sudah berusaha sedaya upaya untuk bangkit mencari gol terutama dalam suku ketiga dan keempat.

Namun, setiap gerakan skuad negara menemui jalan buntu selain berjaya dihalang penjaga gol Perancis, Guillaume De Vaucelles sepanjang perlawanan

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal menebus kekecewaan selepas tersingkir di tangan lawan tersebut sewaktu peringkat separuh akhir edisi JWC 2013.

Selepas ini, Malaysia akan berdepan gergasi Eropah, Belanda untuk perlawanan penentuan tempat kelima hingga lapan pada Selasa ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: