Basikal

Kejohanan Berbasikal Jelajah Negeri Sembilan bermula esok


Bandar Sri Sendayan, Lenggeng, Mantin, Nilai dan Rembau antara laluan yang bakal diharungi pelumba-pelumba.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

BARISAN pelumba muda yang mewakili pasukan Majlis Sukan Negara (MSN), Sekolah Sukan dan pasukan negeri bakal menghangatkan lagi Kejohanan Berbasikal Jelajah Negeri Sembilan (NS) yang bermula esok hingga hujung minggu ini.

Sebanyak tiga peringkat perlumbaan membabitkan laluan sejauh 387-kilometer bakal menjadi medan buat semua pelumba untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM15,000.00.

Kejohanan anjuran Persatuan Berbasikal NS dengan kerjasama kerajaan Negeri Sembilan bakal merentasi sebahagian besar negeri itu melalui Bandar Sri Sendayan, Lenggeng, Mantin, Nilai dan Rembau.

Perlumbaan ini akan dijalankan mengikut format perlumbaan jelajah (stage race) dan tertakluk kepada undang-undang dan peraturan perlumbaan yang ditetapkan bakal disertai seramai 120 pelumba lelaki berumur di antara 17 tahun hingga 22 tahun.

Presiden Persatuan Berbasikal NS, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata penganjuran pertandingan itu penting bagi mendedahkan pelumba dengan format perlumbaan jelajah selain menjadi pemangkin kepada kejayaan pelancongan sukan di negeri terbabit.

“Secara tidak langsung ia akan memberikan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi perbelanjaan yang dikeluarkan bagi sektor hotel, penyediaan makanan dan lain lain perkhidmatan.

“Kejohanan ini juga akan memberi peluang kepada persatuan-persatuan negeri untuk menguji pelumba-pelumba mereka menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) di Kuala Lumpur dan Johor,” katanya.

Sekalipun dianjurkan secara sederhana namun penganjur tetap mengutamakan aspek teknikal seperti yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: